BALIK PULAU : Sembilan lelaki warga China mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan terlibat dalam pakatan jenayah bagi memperdaya mangsa menerusi sindiket ‘Love Scam’, awal bulan ini.
Tertuduh, Ye Binyu, 32; Yang Jie, 34; Xiang Hanghang, 33; Lin Zhixu, 30; Zhang Peng, 30; Huang Shihong, 31; Tan Qiao, 22; Tan Bo, 26, dan Li Mingrui, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama menjadi pihak kepada suatu pakatan jenayah dengan bersetuju melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang bagi memperdayakan mangsa menerusi sindiket ‘Love Scam’.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 6.10 petang pada 1 Julai 2026 di sebuah unit kondominium Muze PICC, Persiaran Mahsuri, Sungai Nibong Kecil, Bayan Lepas, dalam daerah Barat Daya.
Atas kesalahan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara antara tempoh satu hingga 10 tahun, dikenakan sebatan serta dikenakan denda.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affandi Zulkifli memohon agar jaminan sebanyak RM10,000 diberikan kepada setiap tertuduh dengan dua penjamin warga tempatan selain mensyaratkan supaya tertuduh melapor diri di balai polis dan menyerahkan pasport yang dimiliki kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam, Ahmad Luthfillah Hadi Ahmad yang mewakili kesemua tertuduh mahu jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya memasuki Malaysia sebagai pelancong, mempunyai pekerjaan tetap di China dengan pendapatan antara RM1,800 hingga RM3,000 sebulan serta tidak mempunyai ahli keluarga di negara ini untuk membantu membayar wang jaminan itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua tertuduh bersedia mengemukakan dua penjamin warga tempatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain menegaskan bahawa jaminan berkenaan bukanlah satu bentuk hukuman.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin warga tempatan selain memerintahkan agar kesemua tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Sungai Nibong setiap Khamis serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai. Kes akan disebut semula 27 Ogos depan bagi serahan dokumen.-UTUSAN










