PARIS: Novak Djokovic layak ke final Sukan Olimpik buat kali pertama dijadual bertemu Carlos Alcaraz dalam penentuan pingat emas menyifatkan pencapaiannya itu sebagai sesuatu yang besar.
Pilihan utama dari Serbia, Djokovic masih memburu emas Olimpik pertamanya menewaskan Lorenzo Musetti dari Itali 6-4, 6-2 dalam aksi separuh akhir.
Alcaraz dari Sepanyol menjadi pemain termuda layak ke final perseorangan lelaki di Olimpik sejak sukan itu kembali ke temasya pada tahun 1988 selepas menewaskan Felix Auger-Aliassime 6-1, 6-1.
Aksi final di Roland Garros esok merupakan perlawanan ketujuh antara kedua-dua pemain itu dengan Alcaraz menewaskan Djokovic pada pertemuan terakhir di final Wimbledon.
“Sangat melegakan. Tiga daripada empat Sukan Olimpik, saya bermain di separuh akhir, menang gangsa ketika yang pertama di Beijing.
“Jadi dapat memastikan pingat lebih tinggi buat kali pertama untuk negara saya, apa pun yang berlaku Ahad ini, satu penghormatan. Saya akan memburu emas. Tidak ragu-ragu lagi – ia sangat penting,” kata Djokovic.
Bagaimanapun, pemain berusia 37 tahun itu mengambil pendekatan dengan merendah diri apabila berkata Alcaraz menjadi pilihan pada aksi final tersebut sambil menyifatkan dirinya tidak mempunyai apa-apa untuk dirugikan.
“Dia menewaskan saya di Wimbledon tetapi keadaan ini berbeza dan saya merasakan saya bermain lebih baik berbanding di Wimbledon. Saya akan keluar dan bermain tenis terbaik saya,” katanya. – AFP










