BARCELONA: Barcelona meminjamkan penyerang Vitor Roque kepada kelab La Liga, Real Betis selepas dia gagal memberi impak kepada pasukan dalam beberapa bulan pertamanya bersama skuad Catalan.
Gergasi Catalan itu turut meminjamkan pertahanan tengah, Clement Lenglet kepada pencabar mereka, Atletico Madrid.
Penyerang Brazil, Roque tiba dari Athletico Paranaense pada Januari selepas Barca membelinya 30 juta euro (RM145 juta) pada Julai 2023.
Dia menjaringkan dua gol dalam 16 perlawanan untuk kelab tersebut sementara Barcelona menyaksikan pencabar mereka, Real Madrid menjulang trofi La Liga dan Liga Juara-Juara.
“Perjanjian telah dicapai antara Barcelona dan Real Betin untuk meminjamkan Vitor oque hingga 30 Jun 2025 dengan pilihan tambahan satu tahun,” kata Barcelona dalam satu kenyataan yang turut memberi pilihan kepada Betis untuk membeli pemain berusia 19 tahun itu.
Dalam pada itu, jurulatih Barcelona, Hansi Flick berkata kepada pemberita bahawa keputusan itu dibuat demi kebaikan kedua-dua belah pihak.
“Anda tidak boleh berkata saya tidak mempercayainya, itu salah. Satu peluang bagus untuk dia bermain, dia melakukan banyak perkara dengan baik…harapnya dia bermain dengan sangat baik dan meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, pertahanan Perancis, Lenglet, 29, menyertai Atletico hingga tama musim ini selepas dia dipinjamkan kepada Tottenham dan Aston Villa. – AFP










