WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menjangkakan rundingan damai Gaza akan berterusan seperti yang dirancang, kata Jabatan Negara pada Isnin, sambil berkata bahawa pihaknya percaya perjanjian ini akan kekal walaupun selepas Hamas menimbulkan keraguan sama ada akan mengambil bahagian dalam mesyuarat pada Khamis.
Timbalan jurucakap Jabatan Negara, Vedant Patel berkata AS sepenuhnya menjangkakan rundingan dapat diteruskan dan pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak terbabit, sambil menambah bahawa perjanjian tersebut masih mungkin dapat dilaksanakan.
“Kami menjangkakan perbincangan penuh untuk bergerak ke hadapan, sebagaimana sepatutnya. Semua perunding harus kembali ke meja rundingan dan membawa perjanjian ini kepada kesimpulan,” kata Patel kepada pemberita dalam taklimat mingguan Jabatan Negara.
Patel enggan menyatakan sama ada rundingan itu akan diteruskan tanpa Hamas ataupun Washington bekerjasama dengan rakan serantau bagi memastikan penyertaan kumpulan tersebut atau tidak.
Hamas pada Ahad meminta pengantara untuk membentangkan rancangan berdasarkan perbincangan sebelum ini dan bukannya terlibat dalam rundingan baharu untuk perjanjian gencatan senjata Gaza.
Pada minggu lalu, pemimpin AS, Mesir dan Qatar menggesa Israel dan Hamas bertemu untuk menyambung semula rundingan pada 15 Ogos sama ada di Kaherah ataupun di Doha bagi memuktamadkan gencatan senjata Gaza dan perjanjian pembebasan tebusan.
Hujung Mei lalu, dalam ucapannya, Presiden AS, Joe Biden telah membentangkan cadangan gencatan senjata tiga fasa dan sejak itu, Washington serta pengantara serantau cuba mengatur perjanjian gencatan senjata Gaza dan pertukaran tebusan tetapi seringkali menghadapi kebuntuan.
Israel melancarkan serangannya ke atas Gaza selepas Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh 1,200 orang dan kebanyakannya orang awam serta menangkap lebih 250 tebusan, menurut jumlah yang dikeluarkan oleh rejim Zionis.
Sejak itu, hampir 40,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel di Gaza, demikian menurut Kementerian Kesihatan Gaza.-AGENSI











