9  tertuduh culik lelaki  Palestin hantar representasi tarik pertuduhan - Utusan Malaysia

9  tertuduh culik lelaki  Palestin hantar representasi tarik pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sembilan daripada 13 tertuduh yang didakwa menculik lelaki Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian telah  menghantar  representasi supaya pertuduhan ke atas mereka ditarik balik atau dikurangkan. 

Peguam bela, Norma Goh Kim Lian berkata, pihaknya memaklumkan kepada  hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy bahawa representasi itu sudah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), sebulan lalu.

Sembilan tertuduh itu ialah Mohamad Norakmal Hassan, Dody Juanidi, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, Mohamad Naziree Mustapha, Faizull Hardey Mohd Isa, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, Mohamad Sufian Saly, Mohd Zaidi Mohd Zain dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid.

Bagi empat lagi tertuduh, peguam bela masing-masing   memaklumkan mereka juga akan membuat perkara sama.

Mereka ialah peguam  Muhammad Amin Abdullah yang mewakili Nidaharayu Zainal; peguam bela, Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan bagi pihak Raibafie Amdan; Adi Zulkarnain Zulkafli mewakili Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi manakala  peguam Navinjit Singh bagi Edy Ko’im Said.

Sementara itu, Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh berkata,   pihaknya akan memanggil 30 saksi untuk memberikan keterangan pada perbicaraan kes yang ditetapkan pada 7 hingga 11 Julai 2025.

Pada Oktober 2022, semua tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan secara niat bersama menahan Omar Z M Albelbaisy Raeda, 31.

Penahanan Omar didakwa  untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini, pada pukul  10.40 malam, 28 September 2022. Atas kesalahan tersebut semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×