88 peratus wilayah Gaza kini dikuasai Israel

88 peratus wilayah Gaza kini dikuasai Israel

WARGA Palestin melihat sendiri kemusnahan selepas serangan tentera Israel di Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) mendedahkan lebih 88 peratus wilayah Gaza kini ditawan Israel dengan 2.3 juta penduduk sukar mencari tempat perlindungan setelah tentera rejim mengarahkan pemindahan serta-merta.

Menurut agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, ini menyaksikan hanya tinggal 12 peratus kawasan untuk mangsa perang mencari tempat selamat.

Pemangku Pengarah OCHA, Joyce Msuya berkata, orang awam sendiri tidak tahu di mana mereka berlindung apabila tentera rejim mengeluarkan arahan perpindahan.

“Arahan perpindahan yang dikeluarkan tanpa mengira masa telah melanggar keperluan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Ia memaksa kita berfikir, apa yang telah terjadi kepada rasa kemanusiaan?,” katanya pada satu taklimat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di sini kelmarin.

Kenyataan Msuya itu dibuat selepas PBB terpaksa menghentikan pergerakan bantuan kakitangannya di Gaza Isnin lalu berikutan arahan pemindahan baharu Israel di kawasan Deir al-Balah, yang menjadi pusat operasi OCHA.

Beliau juga mempersoalkan dimanakah nilai kemanusian Israel selepas pasukan bantuan antarabangsa itu sukar menjalankan operasi bantuan di Gaza ekoran serangan berterusan daripada tentera negara tersebu.

Msuya berkata, keadaan yang tidak menentu di Gaza menyebabkan pasukannya gagal merancang jadual perjalanan dalam tempoh 24 jam kerana tidak pasti dengan jenis bantuan yang dimiliki, bila mereka akan memperolehnya atau di mana mereka perlu menghantarnya.

“Orang awam kelaparan, dahaga dan sakit. Mereka tiada tempat tinggal. Apa yang mereka tanggung amat menyedihkan,” kata Msuya seperti laporan Al-Arabiya.

Perang dilancarkan Israel terhadap kumpulan pejuang Hamas sejak Oktober tahun lalu mengakibatkan lebih 40,000 kematian penduduk Palestin, namun sehingga kini rundingan gencatan senjata masih menemui jalan buntu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN