HULU TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merekodkan sebanyak 105 kes penyakit berjangkit dalam kalangan Orang Asli di Terengganu bagi tempoh lima tahun bermula 2019.
Pengarah JKNT, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, ia melibatkan 13 kes tuberkulosis (TB), 13 kes sifilis, enam kes kusta, enam kes Covid-19 serta dua wabak campak serta puru.
“Jumlah komuniti Orang Asli bagi tiga daerah di Terengganu iaitu di Sungai Berua, Hulu Terengganu; Sungai Pergam, Kemaman serta Sungai Sayap, Besut kini kira-kira 1,030 orang.
“Berdasarkan analisa data lima tahun iaitu 2019 hingga 2023, trend penyakit berjangkit melibatkan kes TB, kusta dan sifilis sentiasa dikesan dalam kalangan Orang Asli.
“Sementara itu, wabak pertama dilaporkan pada 2019 ialah campak melibatkan seramai 51 orang komuniti di Sungai Berua. Wabak puru pula dilaporkan pada 2020 melibatkan 16 masyarakat di sini.
“Bagaimanapun, dua wabak ini tidak lagi dikesan berlaku dalam kalangan komuniti ini selepas itu. Pihak jabatan sentiasa memberi penekanan terhadap penjagaan kesihatan Orang Asli termasuk dengan laksanakan ujian saringan penyakit,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kesihatan Orang Asli Peringkat Negeri Terengganu 2024 dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Daerah Hulu Terengganu Tahun 2024 di Sungai Berua di sini, semalam.
Tambah beliau, ketiga tiga perkampungan Orang Asli di negeri ini punyai kemudahan Klinik Bergerak Orang Asli (KBOA) yang dijalankan pasukan terlatih setiap hari setiap minggu.
Katanya lagi, antara perkhidmatan ditawarkan adalah pemeriksaan ibu mengandung, kesihatan ibu anak serta saringan kesihatan seperti kencing manis dan tekanan darah.
“Sehingga kini kedatangan masyarakat Orang Asli di KBOA adalah antara 13 hingga 57 orang setiap kali lawatan dengan jumlah kes yang dirawat adalah sebanyak 1,466 kes pada tahun lepas,” ujarnya.-UTUSAN










