SANAA: Kumpulan Houthi mengumumkan penyambungan semula operasi penerbangan dari Yaman ke Mesir dan India, lapor Agensi Anadolu.
Langkah itu menandakan penerbangan terus pertama dari Sana’a ke Kaherah dan Mumbai sejak konflik di Yaman tercetus hampir 10 tahun lalu.
Jadual penerbangan baharu itu termasuk penerbangan harian antara Sanaa dan Kaherah serta dua penerbangan mingguan ke Mumbai.
Perkembangan itu diumumkan Yemenia Airways dalam kenyataan, semalam.
Penerbangan itu adalah sebahagian daripada perjanjian yang diumumkan oleh Utusan PBB, Hans Grundberg antara kerajaan Yaman dan Houthi untuk meredakan konflik ekonomi mereka.
Perjanjian itu termasuk membatalkan semua keputusan dan prosedur terkini terhadap bank oleh kedua-dua pihak, meneruskan penerbangan Yemenia Airways antara Sanaa dan Jordan, serta mengendalikan penerbangan ke Kaherah dan India.
Sejak Mac 2015, konflik tercetus di Yaman sehingga mengheret perang saudara dan pergolakan.
Perang sejak sedekad lalu melibatkan tentera Kerajaan Yaman dengan kumpulan pejuang Houthi.
Tentera Kerajaan Yaman mendapat sokongan antarabangsa termasuk Arab Saudi, manakala, Houthi yang mengawal wilayah dan bandar termasuk Sanaa mendapat sokongan Iran.









