Zii Jia tarik diri, Yee Hern-Vannee mara ke separuh akhir

Zii Jia tarik diri, Yee Hern-Vannee mara ke separuh akhir

Lee Zii Jia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Misi pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India tidak kesampaian apabila terpaksa menarik diri pada aksi suku akhir, hari ini.

Zii Jia yang berdepan pemain Perancis, Arnauld Merkle tewas 16-21 pada set pertama sebelum menarik diri ketika ketinggalan 6-11 pada set kedua.

Punca penarikan diri pemain itu bagaimanapun masih belum dapat dipastikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam perkembangan berbeza, beregu campuran negara, Wee Yee Hern-Vannee Gobi meneruskan kemaraan cemerlang apabila menempah tiket ke separuh akhir kejohanan berstatus Super 300 itu buat kali pertama.

Pasangan ranking ke-61 dunia itu menewaskan wakil Indonesia, M Nawaf Khoiriyansyah-Indah Cahya Sari Jamil yang berada di ranking ke-144 dunia, 21-15, 21-14 dalam tempoh 39 minit pada aksi suku akhir.

Kemenangan itu membolehkan Yee Hern-Vannee memperbaiki pencapaian mereka di kejohanan sama tahun lalu, selain membuktikan peningkatan prestasi selepas tersingkir pada pusingan pertama dalam dua kejohanan Super 300 sebelum ini, Terbuka Taiwan dan Korea Masters.

Pasangan negara yang menjuarai Masters Kaohsiung di Taiwan, awal bulan ini kini hanya memerlukan dua kemenangan lagi untuk meraih gelaran Jelajah Dunia kedua berturut-turut.

Yee Hern-Vannee akan berdepan satu lagi pasangan India, Sathwik Reddy Kanapuram-Reshika Uthayasooriyan di separuh akhir selepas pasangan itu turut melangkah ke kelompok empat terbaik.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain negara, Wong Ling Ching pula gagal meneruskan kemaraan apabila tewas kepada pilihan keempat dari Thailand, Supanida Katethong 13-21, 13-21.

Kekalahan itu menjadi yang kedua berturut-turut buat Ling Ching di tangan pemain berkenaan selepas turut tewas pada pusingan pertama  China Masters, September lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini