FRANKFURT: Tangisan Cristiano Ronaldo gagal menyempurnakan penalti bertukar menjadi tawa riang apabila berjaya membantu Portugal menewaskan Slovenia di pusingan kalah mati dengan penuh dramatik.
Ronaldo mempunyai peluang terbaik menamatkan perlawanan lebih awal namun tendangan penaltinya diselamatkan oleh penjaga gol Slovenia, Jan Oblak pada lewat permainan masa tambahan pertama.
Bekas penyerang Real Madrid itu ditenangkan Joao Palhinha sambil mengesat air matanya sebelum Ronaldo kembali meneruskan permainan masa tambahan kedua.
Penyokong Portugal melaungkan ‘Viva Ronaldo’ selepas melihat Ronaldo tidak dapat mengawal emosinya yang turut ditayangkan pada skrin gergasi di Arena Frankfurt.
Selepas kedua-dua pasukan terikat, penentuan penalti terpaksa dilakukan dan Ronaldo pemain Portugal pertama menyempurnakannya dengan kaki kanan.
Ronaldo mengangkat kedua-dua tangannya sebagai tanda permohonan maaf kepada penyokong mula kelihatan tenang selepas menyempurnakan penalti itu.
Terima kasih kepada penjaga gol Portugal, Diogo Costa apabila bertindak cemerlang menyelamatkan tiga penalti Slovenia sekali gus mencatat kemenangan 3-0.
“Tangisan pertama adalah kesedihan dan seterusnya adalah kegembiraan, itu bola sepak berikan kepada anda, detik yang sukar dijelaskan.
“Saya tidak melakukan kesilapan pada tahun ini dan apabila saya mahukan sesuatu di saat penting, Oblak menyelamatkannya.
“Slovenia bertahan sepanjang perlawanan dan itulah yang berlaku, ia hadir dengan kesukaran,” kata Ronaldo. – AFP










