PENAMPANG: Polis berjaya menumpaskan empat kes jenayah samun bersenjata dengan tertangkapnya seorang suspek utama pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Sammy Newton berkata, selepas hampir sebulan memburu, akhirnya suspek ditangkap di sebuah kampung di Papar kira-kira pukul 8.30 malam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 47 tahun mengaku terlibat dalam empat kes samun kedai serbaneka di sekitar pusat bandar raya.
Katanya, kes samun berkumpulan dengan menggunakan sebilah parang yang dilaporkan di Penampang adalah pada 16 Jun lalu, kira-kira pukul 9.15 pagi di sebuah kedai serbaneka 24 jam.
“Semasa kejadian, dua suspek (lelaki) telah masuk ke dalam premis menggunakan topi keledar berpelitup muka. Salah seorang daripada suspek bertindak mengeluarkan sebilah parang dan meminta duit daripada pengadu.
“Ketika kejadian, kedua-dua suspek mengambil wang bernilai RM1,081.50 yang disimpan di peti duit serta sebuah telefon bimbit milik pengadu yang dianggarkan bernilai RM2,000.
“Kemudian, kedua-dua suspek beredar dari lokasi kejadian menggunakan sebuah motosikal berwarna hitam dengan nombor plat yang tidak dikenal pasti,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.
Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah jenis syabu dan pergaduhan.
Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960. –UTUSAN










