PETALING JAYA: Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak mencipta sejarah apabila mempertandingkan 488 acara daripada 37 jenis sukan sekali gus menjadi jumlah tertinggi untuk disaingi 15 kontinjen.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma dalam satu kenyataan berkata secara rasmi telah mengesahkan jumlah tersebut mengatasi 426 acara ketika Sukma 2022 di Kuala Lumpur.
“Sejumlah 487 acara memenuhi syarat minimum penyertaan enam kontinjen negeri untuk dipertandingkan berdasarkan kepada pengesahan pendaftaran akhir yang ditutup pada 5 Julai lalu, manakala acara sepak takraw berpasukan wanita diberi kebenaran khas setelah lima negeri mengesahkan penyertaan mereka.
“Mesyuarat Pendaftaran Delegasi pada 7 dan 8 Ogos ini akan membuat pengesahan pendaftaran nama atlet serta pegawai kontinjen sebelum acara pertama, bola sepak lelaki, membuka tirai pada 10 Ogos ini di lima venue pertandingan di Bintulu, Mukah (2) dan Sibu (2),” katanya.
Dalam pada itu, Hannah turut berkata hasil perbincangan jawatankuasa tersebut telah memilih Selangor sebagai tuan rumah Sukma dan Para Sukma bagi edisi 2026.
“Sistem penggiliran tuan rumah Sukma ditetapkan secara berselang-seli setiap dua tahun di antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan negeri-negeri.
“Walau bagaimanapun, negeri-negeri boleh menawarkan diri pada giliran MSN sekiranya tidak melibatkan kos pengelolaan yang besar serta memiliki kemudahan mencukupi.
“Berdasarkan kepada syarat berkenaan, Selangor tampil menawarkan diri dan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia sebulat suara mengesahkan pemilihan Selangor selaku tuan rumah Sukma 2026. Kelantan kemudiannya mengambil giliran selaku tuan rumah SUKMA 2028,” katanya. – UTUSAN









