PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menyangkal dakwaan bahawa kononnya dia akan meninggalkan badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu.
Dalam satu kenyataan, Stuart berkata ketika ini dia masih lagi komited berkhidmat bersama MFL dan perbincangan untuk melanjutkan kontraknya yang akan tamat pada 30 Ogos ini sedang berlangsung.
“Rakan-rakan media saya, ramai menghubungi saya mengenai desas-desus terkini mengenai jawatan saya.
“Apa yang saya boleh katakan saya masih komited bersama MFL dan perbincangan masih berjalan mengenai lanjutan kontrak saya yang akan berakhir pada Ogos ini.
“Sila ambil perhatian bahawa sebarang perkara rasmi mengenai perkara ini akan diumumkan dalam masa terdekat dan buat masa ini saya masih komited dengan peranan saya,” katanya.
Stuart mengambil alih jawatan tersebut pada Ogos 2021 selepas dikosongkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin. – UTUSAN










