SURABAYA: Skuad Bawah 19 (B-19) negara bermula dengan garang dalam kempen Kejuaraan B-19 ASEAN apabila membelasah Brunei 11-0 di Stadium Gelora 10 November, Surabaya, hari ini.
Skuad kendalian Juan Torres Garrido itu berada di depan seawal minit kedua menerusi jaringan Pavithran Gunalan sebelum pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) II itu menyumbat gol keduanya pada minit ke-43.
Abid Safaraz beraksi dengan cemerlang apabila meledak hatrik pada minit ke-14, selang dua minit kemudian dan minit ke-80 permainan.
Enam lagi gol masing-masing dijaringkan oleh Danish Hakimi pada minit ke-25, Haykal Danish ke-42, Izzat Syahir menerusi penalti pada minit ke-53, Amir Farhan ke-68, Zamirul Hakim ke-75 dan Muhammad Shafizan ke-82.
Kemenangan itu membolehkan skuad B-19 negara menduduki tangga teratas Kumpulan C dan dijadual bertemu Singapura untuk aksi kedua di venue yang sama pada 22 Julai ini sebelum bertemu Thailand di Stadium Gelora Bung Tomo pada 25 Julai. – UTUSAN










