INDAH nan menawan kediaman yang satu ini dengan rekaan dan hiasan dalamannya yang unik. Sekali pandang bagaikan sebuah resort percutian.
Berkonsepkan kontemporari, kediaman milik Musaddiq Mohamad Khalil dan Nabila Shakira Nordin dan ini menggabungkan pelbagai gaya yang juga dikenali sebagai fluid-style.
Konsep berkenaan membawa erti tidak terikat hanya pada satu gaya.
Antara gaya digabungkan adalah minimalis moden dan juga postmodern yang menekankan warna dan tekstur seperti dinding tumpu di ruang tamu serta almari kabinet televisyen di mana permukaannya adalah replika daripada warna dan tekstur simen.
Manakala, lantai vinyl dan perabot meja makan daripada bahan kayu digabungkan dengan elemen alam semula jadi di dalam dan luar rumah.
Kata Musaddiq, konsep dipilih lebih dinamik dalam flow-plan rumah, di mana ruang terbuka dapat memberi akses kepada keluarga untuk berinteraksi dan beraktiviti bersama.
“Konsep ini turut menekankan aspek form and function di mana setiap struktur binaan mempunyai fungsi keperluan tersendiri kepada penghuni.
Contohnya batu lubang di bahagian depan rumah dan balkoni.

“Ia bukan sahaja untuk aliran udara, tetapi juga untuk menarik cahaya semula jadi kepada penghuni dan pokok di dalam rumah.
“Pintu kaca di dapur dan bilik tetamu juga memiliki fungsi yang sama. Keduanya, menggunakan langsir serta blind mengikut keperluan cahaya dan udara.
“Perkara ini membuatkan rekaan rumah ke arah lestari sesuai dengan gaya kontemporari,” katanya.
Batu berlubang juga berfungsi sebagai penghadang privasi pada waktu siang di bahagian kawasan ruang tamu dan bilik atas untuk mengehadkan pandangan dari luar walaupun semasa pintu atau tingkap terbuka.
Sementara itu, Nabila berkata, antara elemen melengkapkan konsep kontemporari adalah ‘membawa’ alam semulajadi ke dalam ruang rumah.

“Pengalaman ini membawa citarasa serta manfaat berbeza apabila melihat kehijauan pokok, serta mendapat bekalan oksigen berterusan.
“Cahaya dan udara dari luar juga membuatkan kita rasa segar dan nyaman.
“Selain itu, belakang rumah juga mendekatkan kami dengan alam semula jadi kerana kami juga menanam pokok-pokok serta meninggikan tembok sebanyak 10 kaki supaya dapur di kawasan belakang rumah lebih privasi pada masa yang sama dapat akses terus udara, cahaya serta pemandangan alam di luar,” jelasnya lagi yang aktif berkongsi mengenai hiasan rumah di Instagram rumah.sepu1063.
Tambahnya, kelebihan konsep itu menggabungkan kehidupan urban tapi pada masa yang sama suasana kampung yang dekat dengan alam dan tanaman.










