PARIS: Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo menegaskan tindakan sabotaj terhadap rangkaian kereta api berkelajuan tinggi Perancis tidak akan memberi impak kepada majlis pembukaan Olimpik Paris 2024.
Tindakan yang disifatkan ‘tidak boleh diterima’ itu bagaimanapun tidak menjejaskan rangkaian pengangkutan di ibu kota Perancis.
Beliau membuat kenyataan tersebut kepada media selepas perjumpaan dengan Raja Sepanyol, Felipe VI.
Menurut Anne, rangkaian kereta api berkelajuan tinggi Perancis mengalami gangguan dan serangan beberapa jam sebelum upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris.
Sumber yang rapat dengan penyiasatan memberitahu bahawa serangan itu adalah tindakan “sabotaj” yang telah dirancang.
“Ini adalah serangan besar-besaran untuk melumpuhkan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi (TGV),” kata sumber berkenaan.
Syarikat Kereta Api Kebangsaan Perancis (SNCF), mengesahkan banyak laluan perlu dibatalkan akibat serangan tersebut.
“Serangan itu menjejaskan laluan Atlantik, utara dan timur, selain kemudahan kami turut dibakar,” kata wakil SNCF.
Dalam pada itu, pihak berkuasa keselamatan telah meningkatkan kawalan di sekitar kawasan majlis pembukaan untuk memastikan acara berjalan lancar tanpa sebarang insiden lanjut.
Hidalgo turut memberi jaminan bahawa keselamatan dan keselesaan semua yang terlibat dalam Sukan Olimpik adalah keutamaan.
Majlis pembukaan Paris 2024 tetap berlangsung dengan meriah dan penuh warna-warni, menandakan permulaan rasmi temasya sukan yang dinanti-nantikan.
Kejayaan penganjuran majlis tersebut menunjukkan keazaman dan komitmen pihak berkuasa Perancis dalam memastikan Sukan Olimpik berjalan lancar meskipun menghadapi cabaran.-AGENSI










