PETALING JAYA: Operasi balai polis di seluruh negara tetap berjalan seperti biasa walaupun penutupan pintu pagar selepas pukul 10 malam yang akan dilaksanakan kelak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pelaksanaan arahan itu pada masa ini tertumpu di balai-balai polis terpencil selain yang mempunyai kekuatan penugasan dua anggota pada waktu malam.
“Pada masa ini pelaksanaan arahan itu adalah membabitkan balai yang mempunyai penugasan dua anggota.
“Seorang anggota bertugas sebagai prowler (Balai Pengawal) manakala seorang lagi bertugas di bahagian inkuiri (kaunter laporan polis).
“Secara amnya penugasan dua anggota ini wujud di balai polis di kawasan terpencil dan luar bandar namun ianya juga turut merisikokan keselamatan anggota yang terlibat terhadap sebarang ancaman seperti yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Razarudin berkata, penutupan pintu pagar balai polis bukannya bermaksud sesebuah balai itu ditutup sebaliknya ia tetap beroperasi seperti biasa dalam memudahkan proses penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
“SOP pelaksanaan arahan ini akan dibentangkan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan, Datuk Seri Azmi Kassim, sebelum dlaksanakan secara berperingkat di balai-balai terutamanya kawasan terpencil dan luar bandar.
“Seperti yang ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, kita seharusnya mengimbangi bahawa Balai Polis adalah tempat rakyat mengadu dan pada masa sama Balai Polis turut menjadi sasaran ancaman, jadi kita imbangkan antara dua keperluan itu,” katanya.
Beliau turut mengulas bahawa sebarang proses pengaduan dan membuat laporan di Balai Polis berjalan secara normal.
“Orang ramai boleh meletakkan kenderaan mereka di kawasan lapang yang tidak mengganggu kelancaran lalu-lintas tidak jauh dari kawasan balai polis ketika berurusan selepas jam 10 malam.
“Secara normal, anggota yang berugas di Pos Pengawal Balai Polis akan merekodkan tujuan kehadiran ke balai sebelum dibenarkan masuk untuk berurusan dengan anggota inkuiri,” katanya.- UTUSAN