KANGAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis mengambil pendekatan tidak memihak kepada mana-mana kem susulan krisis melanda parti di peringkat pusat.
Pengerusinya, Abu Bakar Hamzah berkata, fokus Bersatu Perlis adalah kepada pentadbiran kerajaan negeri sambil berharap krisis di peringkat pusat itu dapat diselesaikan dengan baik dalam semangat kekeluargaan.
Katanya, krisis melibatkan Bersatu adalah di peringkat nasional yang tiada sebarang kaitan dengan pentadbiran parti itu di peringkat negeri yang masih kekal berprinsip dalam mempertahankan pentadbiran sedia ada.
“Pentadbiran negeri pada masa ini perlu diberikan lebih tumpuan memandangkan Perlis juga baharu selesai berdepan kemelut politik dan kini dalam proses pengukuhan semula.
“Bersatu negeri tidak boleh terlibat dengan kemelut yang berlaku di peringkat pusat memandangkan, Perikatan Nasional (PN) di Perlis juga baharu sahaja selesai mendepani kemelut yang melanda gabungan berkenaan.
“Saya berharap Bersatu Perlis dikecualikan atau tidak dikaitkan dengan mana-mana kem di dalam parti memandangkan kita semua adalah keluarga,” katanya di sini semalam.
Abu Bakar yang juga Menteri Besar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian Bersatu di peringkat negeri susulan isu pemecatan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada Bersatu.
Antara nama dipecat, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ketua Bahagian Padang Rengas merangkap Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Kapten Azhari Hasan; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Pertembungan dalaman Bersatu semakin parah apabila sebelum itu 17 ahli Parlimen Bersatu mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai Presiden dan memberi ruang kepada Hamzah mengemudi parti.
Abu Bakar berkata, beliau bersama empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di negeri ini akan terus kekal tenang dan berprinsip biarpun tercetusnya isu tersebut.
“Kita juga tidak ada masalah dalam pengurusan bersama kepimpinan Pas di Perlis, jadi kita kena pastikan kali ini, dalam pilihan raya akan datang, kita dapat pertahankan PN di Perlis. Bersatu negeri juga sentiasa memantau perkembangan di peringkat pusat dan mengharapkan penyatuan sebenar akan berlaku demi mengukuhkan kerajaan PN khususnya di Perlis dan pusat.
“Buat masa ini, kita akan terus fokus dalam memberi perhatian kepada penyatuan dan kebajikan rakyat di negeri ini,” katanya. – UTUSAN










