Enam wakil rakyat Bersatu tidak akan merayu pemecatan

Enam wakil rakyat Bersatu tidak akan merayu pemecatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilucutkan keahliannya mengambil pendekatan mengikut jejak langkah bekas Timbalan Pre­sidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, untuk tidak merayu.

Dua daripadanya iaitu Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah memutuskan untuk menarik balik rayuan mereka selepas dilucutkan keahlian masing-masing pada 13 Oktober 2025 dan 6 Januari lalu.

Wan Saiful berkata, keputusan menarik balik rayuan tersebut di­sebabkan beliau melihat Bersatu mengamalkan hipokrasi dalam mengambil tindakan terhadap ahli-ahlinya.

Bekas Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, antara tuduhan kesalahan dikenakan terhadapnya adalah mengusahakan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif dalam Perikatan Nasional (PN).

“Perkara sama dilakukan (Pre-siden Bersatu, Tan Sri) Muhyiddin Yassin. Inilah perkara yang dia tulis dalam suratnya kepada Presiden-Presiden parti dalam PN. Inilah hipokrasi Muhyiddin dan penjilatnya,” katanya.

Beliau menyifatkan ‘rumah lamanya’ itu sudah tidak lagi mempunyai masa depan dalam politik tanah air.

“Saya berpandangan bahawa Bersatu sudah tidak ada masa depan kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden merelakan diri untuk dipengaruhi dan dikuasai oleh (Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali. Ini menyebabkan Bersatu lari jauh dari agenda rakyat, kepada hanya memperjuangkan agenda dan cita-cita peribadi,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin ketika berkongsikan surat penarikan semula rayuannya kepada Utusan Malaysia berkata, keputusan itu diambil kerana beliau mahu bersama Hamzah dalam gerakan untuk membangunkan wadah politik baharu.

“Saya tarik balik rayuan kerana mahu bersama Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam gerakan untuk membangun Konsensus Nasional Baharu,” katanya.

Sementara itu, tiga lagi Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat bersama Hamzah pada Jumaat lalu, iaitu Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hassan; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal juga memutuskan untuk tidak akan merayu.

Azahari mendedahkan bahawa pegawainya ada dihubungi oleh pimpinan Bersatu untuk memujuknya supaya membuat rayuan namun beliau kekal dengan pendiriannya iaitu bersama Hamzah.

“Sekarang baru mereka hendak hirau, tetapi saya nekad untuk melakukan langkah baharu bersama Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Kemungkinan akan ada ‘rumah baharu’ seperti disarankan beliau,” katanya.

Bagi Fathul Huzir pula, beliau tidak akan merayu kerana enggan mencagarkan masa depan politiknya dan rakyat Gerik kepada Bersatu.

Sementara, Wan Ahmad Fayhsal berkata, Bersatu sedang ‘mereput’ sehingga ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memilih bersama Hamzah berbanding Muhyiddin.

“Muhyiddin membuat Pas tak selesa dan pengundi Melayu berasa bersalah. Hamzah adalah suara nurani dalam Bersatu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub mengesahkan beliau tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan pemecatan yang dikenakan ke atasnya baru-baru ini.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu berkata, keputusan untuk tidak merayu dibuat selepas mempertimbangkan situasi semasa serta prinsip perjuangan yang selama ini dibawanya.

Katanya, pemecatan tersebut tidak akan menghentikan perjuangannya dalam arena politik, malah beliau memberi bayangan akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka atas platform parti baharu.

“Saya tidak akan merayu. Bagi saya, keputusan sudah dibuat oleh Lembaga Disiplin Bersatu dan saya memilih untuk terus bergerak ke hadapan.

“Saya akan bertanding mempertahankan DUN Bemban atas parti baharu. Kita kini dalam perbincangan dan perancangan bersama beberapa rakan politik yang kini berada pada peringkat akhir sebelum diumumkan secara rasmi tidak lama lagi.

“Kalau mahu bertanding, mestilah ada parti. Kita sedang menyusun gerak kerja dan Insyallah akan umumkan dalam masa terdekat,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN