PARIS: Pemain beregu Sepanyol, Rafael Nadal dan Carlos Alcaraz, berjaya melangkah ke suku akhir beregu tenis lelaki Olimpik 2024 selepas menewaskan pasangan Belanda, Tallon Griekspoor dan Wesley Koolhof, dengan kemenangan 6-4, 6-7, 10-2 di Roland Garros.
Sehari selepas tewas teruk kepada Novak Djokovic dalam acara perseorangan, juara Terbuka Perancis 14 kali, Nadal, bangkit dengan persembahan cemerlang bersama rakan senegaranya, Alcaraz.
Duo Sepanyol yang digelar “Nadalcaraz” itu menghiburkan penonton yang penuh sesak dan bising di Gelanggang Suzanne Lenglen apabila mempamerkan pukulan yang hebat bagi memastikan impian pingat emas mereka masih berada di landasan yang tepat.
Alcaraz, 21, melakukan pukulan depan yang mantap untuk mendapatkan mata yang penting pada set pertama.
Koolhof, bekas pemain nombor satu dunia beregu, dan Griekspoor memberikan tentangan sengit pada set kedua sebelum mendominasi tiebreak set kedua, memenanginya 7-2.
“Walaupun kami merasakan hari ini kami bermain lebih baik daripada hari pertama, dan pada set kedua kami agak mengatasi mereka dari segi peluang, kami tidak dapat menukar peluang kerana mereka bermain dengan baik,” kata Nadal.
Nadalcaraz terus membara pada set ketiga penentuan, pasangan dari Sepanyol itu berturut-turut melakukan pukulan untuk akhirnyamenang.
Nadal yang memenangi emas beregu lelaki bersama Marc Lopez di Rio 2016 menunjukkan semangat dan motivasi tinggi di dalam dan luar gelanggang.
“Kami tidak biasa bermain beregu. Untuk bermain dengan baik, kami cuba bermain dengan gembira dan bertenaga tinggi. Kami mempunyai hubungan baik di luar gelanggang dan itu membantu di gelanggang,” kata Nadal. – AGENSI










