Joohari tidak rasa asing, yakin pengundi buat pilihan bijak

Joohari tidak rasa asing, yakin pengundi buat pilihan bijak

JOOHARI Ariffin (kiri) bermesra dengan pengundi di Sk Sungai Duri, Nibong Tebal, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Dr. Joohari Ariffin tidak berasa asing berada di kawasan Sungai Duri, Sungai Bakap di sini berikutan kawasan tersebut adalah merupakan kawasan kelahiran pesaingnya iaitu calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

Menurut Joohari, hal ini sebaliknya disifatkan sebagai kelebihan buat dirinya kerana telah mengenali rata-rata masyarakat di situ sejak sekian lama.

“Saya rasakan ini (Sungai Duri) adalah kawasan saya. Tak rasa asing pun. Malah, saya yakin pengundi-pengundi akan melakukan pilihan yang bijak untuk memilih (calon yang layak).

“Mungkin juga ia satu kelebihan buat saya,” katanya kepada Utusan Malaysia seusai membuat tinjauan di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Duri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, di sini, hari ini.

Difahamkan, Dr. Joohari merupakan pengundi berdaftar untuk DUN Sungai Acheh yang juga salah satu DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal.

Mengulas lanjut, Joohari yang mesra disapa sebagai Cikgu Joohari berkata, kesemua saluran mengundi di pusat mengundi berkenaan dilihat seimbang selain berharap akan berterusan sehingga tamat tempoh mengundi pada jam 6 petang nanti.

“Setakat pagi ini, saya lihat pengundi datang ramai..manakala kotak undi dilihat dah separuh (penuh). Saluran juga dilihat hampir seimbang.

“Diharap (pengundi datang mengundi) berterusan sehingga petang. Selain itu, saya lihat kotak undi pengundi muda lebih kurang sama maknanya kita tengok mereka bersemangat untuk datang ke sini bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih,” katanya lagi.

Seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRK ini dengan pemilih berdaftar bagi Pusat Mengundi SK Sungai Duri adalah seramai 5,745 orang.

Kesemua sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dijadualkan dibuka serentak bermula pukul 8 pagi dan ditutup pukul 6 petang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN