GEORGE TOWN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) serta empat kru nelayan warga Thailand di perairan Teluk Kampi, di sini awal pagi tadi kerana menangkap ikan tidak mengikut syarat sah lesen.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, VNT kelas C itu ditahan oleh pasukan peronda Maritim Pulau Pinang di kedudukan 11.1 kilometer (km) ke barat Teluk Kampi, kira-kira pukul 5.00 pagi tadi.
“Pada awalnya, bot peronda hanya menjalankan rutin penguatkuasaan sebelum melakukan pemeriksaan terhadap sebuah VNT yang pada ketika itu dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.
“Bot penguatkuasa seterusnya bertindak menghampiri VNT berkenaan dan mendapati berlakunya satu aktiviti perikanan di bawah 27.7 km iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan tidak mengikut syarat sah lesen VNT kelas C,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati, terdapat empat kru warga Thailand berusia dalam lingkungan umur antara 42 hingga 64 tahun sedang bekerja di VNT berkenaan.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dimana mereka menangkap ikan di bawah 15.0 batu nautika.
“Kesemua kru, bot bersama hasil tangkapan iaitu dianggarkan seberat 150 kg ikan baja telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Pulau Pinang untuk siasatan lanjut,” katanya.-UTUSAN










