Penjaga sangkar ikan warga Myanmar terjun laut ketika operasi diberkas

Penjaga sangkar ikan warga Myanmar terjun laut ketika operasi diberkas

SEBAHAGIAN daripada 70 anggota pelbagai agensi yang menyertai operasi bersepadu di sekitar perairan Pulau Pinang, semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Lima penjaga sangkar ikan warga Myanmar nekad terjun dan menyorok di dalam laut setelah sangkar ikan tempat mereka bekerja di sekitar perairan negeri ini diserbu dalam satu operasi bersepadu membabitkan 70 anggota pelbagai agensi, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, operasi bersepadu yang diaktifkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu turut membabitkan beberapa agensi penguatkuasaan lain.

Beliau berkata, antara agensi terlibat termasuk Pasukan Polis Marin (PPM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang.

“Operasi bersepadu ini dijalankan berikutan pengaktifan Operasi Patkor Optima Malindo 31A/2024 yang merupakan operasi dwitahunan secara bersama antara Malaysia dan Indonesia dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan di Selat Melaka yang merupakan laluan utama industri perkapalan dunia.

“Serbuan telah dilakukan di dua sangkar berbeza membabitkan enam buah aset iaitu dua buah bot peronda dan sebuah jetski masing-masing dari Maritim Pulau Pinang serta Pasukan Polis Marin Wilayah Satu.

“Maritim Malaysia turut menggerakkan Skuadron Selam di bawah koordinasi Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia dalam operasi kali ini,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Razali, ketika serbuan, kesemua suspek terjun ke dalam laut dan menyorok di bawah tong biru yang telah diubahsuai untuk dijadikan pelampung sebagai usaha untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.

“Namun, usaha itu sia-sia apabila pasukan penyelam yang diturunkan ke dalam laut telah berjaya menahan kesemua suspek yang cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam laut.

“Usaha menaikkan suspek memakan masa hampir satu jam berikutan keadaan laut yang gelap serta persekitaran yang merbahaya,” katanya yang memberitahu, ketika ditahan, kesemua suspek turut bertindak agresif serta tidak memberikan kerjasama yang baik.

Tambah Razali, pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua suspek disyaki telah berada di Malaysia secara tidak sah.

“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Jeti PPM, Batu Uban dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN