IPOH : Liga Super baru enam perlawanan tetapi pasukan The Bos Gaurus dilanda gelora apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sementara, Bobie Farid Shamsudin meletak jawatan.
Tindakan Bobie itu dibuat berikutan prestasi buruk Perak FC terutama ekoran kekalahan 1-2 kepada Kuching City FC di laman sendiri, semalam.
Perkara itu dimaklumkan kepada Utusan oleh Pengerusi XOX, Dato Seri Abdul Azim Mohamad Zabidi melalui WhatsApp.
“Kepada semua penyokong Perak FC. Dengan kesalnya dimaklumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Interim CEO Bobie Farid telah meletak jawatan pada pertengahan musim.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih di atas usaha gigihnya membantu perjalanan kelab selama tiga musim.
” Bobie memikul tugas berat ini tanpa menerima gaji atau imbuhan sepanjang melaksanakan tugas dalam usaha membantu XOX mengambil alih PFC.
“Malangnya keputusan tidak memihak kepada kami disebabkan beberapa sebab.”
“Sebagai sebuah entiti swasta dan tidak pernah terlibat dalam bola sepak. XOX dan pegawai pengurusan senior telah melalui curam mendalam dan melakukan kesilapan yang masih dalam proses pembetulan.
“Kita memulakan musim dengan optimis tetapi malangnya ia bertukar kepada suasana yang tidak dijangka,” katanya.
Menurut Abdul Azim, pengurusan Perak FC dan XOX mengulangi pendirian untuk memastikan semua kepincangan dan kelemahan pasukan diperbetul.
“Kelab bola sepak ini adalah aset orang ramai. Selaku pemenang saham kami mengakui kelemahan dan sedang berusaha memperbaikinya bagi menghadapi baki musim.
” Penstrukturan semula dalaman akan berlaku dalam tempo terdekat dan kami masih menyimpan sasaran untuk menamat cabaran ditangga tertinggi serta mencatat pencapaian baik dalam Piala Malaysia musim ini,” tambahnya
Perak FC sudah berusia lebih 100 tahun dan selaku pemilik kelab beliau dan rakan-rakan tidak akan membiarkan imej bola sepak Perak dicemari oleh persembahan dan pencapaian buruk pasukan itu.
Oleh yang demikian, pengurusan kelab mengharapkan sokongan penyokong terutama Perak FC akan menerima kunjungan Johor Darul Ta’zim pada 17 Ogos. – UTUSAN










