Buktikan slot wildcard bukan tiket ‘makan angin’

Buktikan slot wildcard bukan tiket ‘makan angin’

AKSI Nur Dhabitah Sabri ketika beraksi dalam acara 3 meter papan anjal wanita di Sukan Olimpik Tokyo.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga atlet akuatik negara, Nur Dhabitah Sabri, Khiew Hoe Yan, Tan Rouxin enggan mengambil mudah terhadap slot wildcard yang diraih, sebaliknya mereka mahu membuktikan kemampuan mencabar pingat buat negara.

Bagaimanapun, membawa pulang pingat tanpa mengira warna dianggap sebagai satu cabaran yang besar namun mereka juga perlu memastikan mampu mengatasi rekod peribadi ataupun memperbaharui rekod kebangsaan di Sukan Olimpik Paris 2024.

Justeru, ini peluang terbaik bagi tiga atlet berkenaan membuktikan bahawa keputusan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) memberi tiket wildcard kepada mereka adalah tepat.

Tumpuan pastinya kepada Dhabitah yang mana menganggap edisi kali ini menjadi medan untuk dirinya menebus kekecewaan selepas hanya 17.6 mata memisahkan dia dengan pingat gangsa pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Berbekalkan pengalaman dua edisi sebelum ini pastinya dapat membantu penerjun berusia 25 tahun itu mempamerkan hasil terjunan yang mampan biarpun enggan meletakkan harapan tinggi di Paris.

“Saya cuma berharap tergolong dalam kedudukan 10 terbaik di Paris. Saya akan fokus satu demi satu. Jadinya, saya akan lakukan yang terbaik pada setiap peringkat,” kata Dhabitah.

Selain itu, Rouxin yang bakal muncul dalam penampilan pertamanya dalam sukan renang memasang impian untuk memadam rekod peribadinya sebagai satu pencapaian dalam dirinya.

“Saya yakin dapat memecahkan rekod peribadi saya 1.11.02 saat (s) dalam acara 100 meter (m) kuak dada. Saya teruja dapat mewakili negara pada usia semuda itu. Ini menjadi kenangan yang sukar untuk saya lupakan,” kata Rouxin.

Situasi jelas berbeza buat satu-satunya atlet akuatik yang layak secara merit ke Paris, Bertrand Rhodict Lises yang bersemangat untuk memperagakan terjunan cantik pada penampilan sulungnya.

Penerjun berusia 19 tahun itu mendedahkan beliau meletakkan sasaran yang realistik berdasarkan tahap prestasi semasanya ketika latihan serta kejohanan yang lalu.

“Mara ke aksi peringkat akhir (Paris) menjadi sasaran utama saya. Jika semua dalam keadaan baik, saya harap dapat menamatkan saingan sekurang-kurangnya dalam kedudukan enam terbaik,” kata Bertrand.

Hoe Yan akan beraksi dalam acara 400m gaya bebas lelaki pada 27 Julai dan Rouxin akan tampil pada keesokan harinya manakala Dhabitah menerusi acara 3m papan anjal wanita pada 7 Ogos serta Bertrand pada dua hari berikutnya (10m platform lelaki).

Terjun
Lokasi: Pusat Akuatik Paris

NUR DHABITAH SABRI
Acara: 3 meter papan anjal wanita

Pencapaian:

EMAS
10m platform seirama Sukan SEA 2013
3m papan anjal seirama Sukan SEA 2015
3m papan anjal Sukan SEA 2017
3m papan anjal seirama Sukan SEA 2019
1m papan anjal, 10m platform berirama Sukan SEA 2021

BERTRAND RHODICT LISES
Acara: 10 meter platform lelaki

Pencapaian:

PERAK
10m plaform Sukan SEA 2023

GANGSA
1m papan anjal Sukan SEA 2021
10m platform seirama Sukan Asia 2022

Renang
Lokasi: Arena Paris La Defence

KHIEW HOE YAN
Acara: 400 meter gaya bebas lelaki

Pencapaian:

EMAS
200m gaya bebas Sukan SEA 2021
200m gaya bebas Sukan SEA 2023

TAN ROUXIN
Acara: 100m kuak dada wanita

Pencapaian

EMAS
100m kuak lentang SUKMA 2022
50M kuak dada SUKMA 2022
100m kuak dada SUKMA 2022
200m kuak dada SUKMA 2022
200m kuak lentang SUKMA 2022
200m rampaian individu SUKMA 2022

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN