PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang berkata penampilan sulung Sukan Olimpik pada edisi 2008 di Beijing, China merupakan detik permulaan bersejarah dalam kariernya di temasya tersebut.
Berkongsi di laman Facebook miliknya, Azizulhasni yang turut dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ berkata pada ketika itu usianya 20 tahun telah diberi tanggungjawab untuk membawa Jalur Gemilang pada Temasya Olimpik Beijing.
“Penampilan pertama ke temasya di Beijing sebagai pembawa bendera untuk kontinjen negara di Stadium Sarang Burung.
“Berumur 20 tahun, tampil dengan penuh cita-cita yang tinggi untuk menjadi yang terbaik bukan hanya di Malaysia, bukan sahaja di rantau Asia, akan tetapi mahu menjadi yang terbaik di dunia.
“Apa yang saya tahu, waktu itu adalah sebuah permulaan kepada perjalanannya dan tidak pula saya tahu akan bagaimana pengakhirannya. Berbekalkan saiz badan biasa tetapi dengan semangat yang luar biasa, saya mulakan segalanya,” katanya.
Pada edisi tersebut, kontinjen negara membawa pulang satu pingat perak menerusi legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei manakala Azizulhasni menamatkan saingan di tempat kelapan bagi acara pecut perseorangan dan ke-10 untuk acara keirin perseorangan.
Azizulhasni menunjukkan kematangannya di Sukan Olimpik apabila menghadiahkan pingat gangsa pada edisi 2016 dan perak di Sukan Olimpik 2020.
Atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu menjadi sandaran utama untuk menghadirkan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024.
Kem berbasikal trek turut disertai Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bakal memulakan cabaran mereka di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines pada 9 Ogos ini. – UTUSAN










