SIRI letusan Anak Krakatau di Indonesia pada awal bulan ini menghasilkan kepulan abu sehingga menjejaskan operasi penerbangan di beberapa kawasan negara itu.
Perkembangan tersebut turut menimbulkan persoalan tentang kemungkinan bahan vulkanik bergerak ke negara jiran, termasuk Malaysia. Kebimbangan ini wajar diberi perhatian. Namun, perhatian yang berasaskan bukti berbeza daripada kesimpulan terburu-buru berdasarkan satu imej, satu arah angin atau satu hantaran media sosial.
Imej satelit membantu menjejaki kedudukan dan pergerakan kepulan pada skala wilayah. Ketinggian kepulan menunjukkan lapisan udara yang terlibat, manakala arah serta kelajuan angin memberi gambaran tentang laluannya. Sepanjang perjalanan, bahan tersebut boleh tersebar, bercampur dengan udara sekeliling atau disingkirkan sebahagiannya melalui hujan dan pemendapan.
Maklumat berkenaan kemudian perlu dibandingkan dengan bacaan kualiti udara berhampiran permukaan, iaitu lapisan udara yang berkait secara langsung dengan pendedahan pernafasan manusia. Model atmosfera boleh menganggarkan arah pergerakan pencemar tetapi pengukuran setempat diperlukan untuk mengetahui keadaan yang dialami penduduk. Jika bacaan zarah halus meningkat sekalipun, puncanya tidak boleh diputuskan secara automatik. Waktu kejadian, arah angin, komposisi zarah dan sumber tempatan perlu sepadan sebelum kaitan dengan letusan gunung berapi dapat dibuat.
Justeru, penyampaian maklumat kepada masyarakat perlu disertakan dengan konteks yang mencukupi. Ungkapan seperti “dikesan dalam ruang udara negara” perlu dijelaskan dengan beberapa persoalan asas seperti bahan apakah yang dikenal pasti? Pada lapisan mana ia berada? Berapakah kepekatannya? Adakah bacaan di permukaan turut berubah? Tanpa jawapan kepada persoalan tersebut, maklumat yang secara teknikalnya benar masih boleh melahirkan tanggapan yang salah.
Perbezaan antara ruang penerbangan dengan ruang pernafasan juga sering terlepas pandang. Abu pada altitud tertentu boleh membahayakan pesawat kerana zarahnya mampu menjejaskan enjin, komponen mekanikal dan jarak penglihatan. Atas pertimbangan itu, laluan penerbangan mungkin diubah atau lapangan terbang ditutup sementara. Tindakan tersebut menunjukkan wujudnya risiko operasi di udara, tetapi tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa penduduk di permukaan, lebih-lebih lagi di negara lain, sedang terdedah kepada kepekatan berbahaya.
Abu vulkanik juga tidak harus disamakan dengan sulfur dioksida (SO2). Abu terdiri daripada bahan vulkanik yang terpecah halus, manakala sulfur dioksida ialah gas yang boleh merengsakan sistem pernafasan. Kedua-duanya boleh dilepaskan dalam letusan yang sama, tetapi tidak semestinya bergerak atau sampai ke permukaan dengan cara serupa. Langit yang kelihatan kabur juga bukan bukti muktamad kehadiran abu kerana keadaan itu boleh berpunca daripada pelbagai sumber pencemaran.
Perbezaan tersebut turut menentukan bentuk perlindungan. Pelitup N95 yang dipakai dengan betul dapat mengurangkan penyedutan zarah halus tetapi tidak direka untuk menapis gas sulfur dioksida. Oleh itu, satu jenis pelitup tidak boleh dianggap sebagai perlindungan daripada semua bahan yang dilepaskan gunung berapi. Nasihat kesihatan mesti dipadankan dengan jenis pencemar, tahap kepekatan dan keadaan sebenar di lokasi terlibat.
Tanggungjawab pihak berkuasa dan media bukan sekadar memaparkan peta, sebaliknya menerangkan makna, batas dan ketidakpastian di sebalik data.
Data mesti dibaca tanpa prasangka dan disampaikan tanpa sensasi. Hanya dengan itu, kebimbangan tidak berubah menjadi tuduhan dan ketenangan tidak bertukar menjadi kecuaian. -UTUSAN
FAIRUS MUHAMAD DARUS & DR. NURZULAIFA SHAHEERA ERNE MOHD YASIM
Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran,
Fakulti Sains Gunaan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










