Rutin anak berubah selepas bercerai – Kaka Azraff - Utusan Malaysia

Rutin anak berubah selepas bercerai – Kaka Azraff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Co-parenting ini bukan tentang saya atau bekas suami, tetapi tentang anak. Apa yang terbaik untuk mereka, masalah saya dengan bekas suami letak ke tepi dahulu.

Demikian ujar Kaka Azraff, 37, yang berkongsi keutamaan menjaga anak-anaknya dan menyesuaikan diri dalam fasa baru sebagai ibu tunggal selepas bercerai talak dua dengan bekas suami, Adam Azriff, 4 Jun lalu.

Katanya, kini setiap keputusan yang dibuat adalah untuk memastikan anak-anak membesar dalam keadaan stabil.

Menurut Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, perubahan ini bukan sahaja dirasai seorang diri tetapi juga anak-anaknya yang memerlukan perhatian. Walau tidak mudah, dia berusaha menjadikan transisi tersebut berjalan selancar mungkin.

“Saya perlu pastikan mereka selesa dan kebajikan mereka dijaga. Anak pertama sudah tujuh tahun, dia masih bertanya tentang ayahnya tetapi saya cuba jelaskan perlahan-lahan supaya dia faham.

“Bila bercerai, rutin anak berubah dan perkara itu mengganggu emosi saya. Tengok mereka balik ke sana, kemudian pulang ke rumah saya semula, membuatkan jiwa saya ‘koyak’.

“Kita tidak pernah lalui situasi ini. Jadi, saya cuba cari kaedah untuk buat semua itu nampak lancar bagi mereka,” katanya.

Tambah Kaka, sokongan daripada insan terdekat menjadi antara kekuatan yang membantunya mengharungi hari-hari sedih itu. Dia juga akui bahawa dirinya memahami kepentingan untuk tidak memendam segala yang dirasai.

Sementara itu, perkongsian ‘podcast’ di media sosialnya baru-baru ini dibuat untuk membuka ruang kepada ramai wanita berkongsi pengalaman masing-masing.

Tanpa disangka, dia menerima pelbagai mesej daripada individu yang melalui situasi hampir sama.
“Ramai yang menghantar mesej kepada saya selepas podcast itu. Saya sebenarnya berfikir panjang sebelum berkongsi kerana niat asal adalah untuk membantu wanita lain.

“Ramai yang menceritakan keadaan mereka dan tak kurang juga ada mengucapkan terima kasih kepada saya. Bila dengar kisah mereka, saya rasa tidak keseorangan,” katanya lagi.

Kaka berkata, setiap mesej yang diterima mengingatkan tentang hakikat yang bahawasanya ramai wanita sedang berjuang dalam diam.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Bukan Hal Aku itu menganggap muzik menjadi ruang paling selesa untuk meluahkan emosi tanpa memendam semuanya bersendirian.

“Bercerita dengan orang sama pentingnya dengan menulis lagu. Saya rasa menulis lagu itu tempat yang paling tepat untuk lepaskan apa yang terbuku di hati.
“Dalam fasa ini, yang keluar selalunya perasaan yang tidak baik. Sebab itu, saya cuba kurangkan menulis lagu ketika ini sebab saya mahu lagu-lagu saya membawa mesej positif,” ujarnya.

Kaka percaya meluahkan perasaan bukan bermaksud membuka aib sesiapa. Tetapi, meluahkan itu menjadi salah cara untuk melepaskan beban yang sarat dalam kepalanya.

“Saya selalu cari kawan untuk bercerita. Abang saya pun rajin telefon dan dia banyak membantu. Niat bukan nak cerita keburukkan orang tetapi untuk kita melepaskan yang terbuku di hati,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×