Najib masih boleh mohon pengampunan

Najib masih boleh mohon pengampunan

NAJIB Tun Razak masih berhak membuat rayuan dan memohon pengampunan sama seperti yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim ketika beliau sedang menjalani hukuman penjara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, badan mahasiswa bagi PKR mengeluarkan satu kenyataan yang memberikan penjelasan berkait perbezaan antara kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kes Datuk Seri Najib Tun Razak. Dalam kenyataan tersebut, mereka  memaparkan empat perbezaan utama antara kedua-dua kes tersebut, iaitu penglibatan dana awam, sifat pertuduhan, persepsi antarabangsa dan keputusan akhir.

Pertama, mahasiswa PKR mendakwa kes Anwar tidak melibatkan dana awam dan pertuduhan tersebut hanya bersifat peribadi, manakala kes Najib pula melibatkan penggunaan dana awam dan pertuduhannya bersifat penyalahgunaan kuasa.

Sebenarnya, ini hanyalah satu teknik dari segi perbahasan. Ini kerana kedua-dua kes tersebut sememangnya berbeza dari segi bentuk kesalahan. Oleh itu, bagaimana mungkin kedua-duanya dibandingkan berdasarkan bentuk kesalahan yang sama? 

Lagipun, pertuduhan dalam kes Anwar tidak boleh ditafsirkan sebagai semata-mata bersifat peribadi kerana perkara tersebut juga boleh dilihat dari sudut penyalahgunaan kedudukan sebagai seorang pemimpin atasan.

Kemudian, mahasiswa PKR turut membandingkan keputusan akhir bagi kedua-dua kes tersebut dan menyimpulkan Anwar  mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, manakala Najib pula masih dikekalkan hukumannya.

Bagaimana mereka boleh mengetahui  keputusan tersebut merupakan ‘keputusan akhir’ bagi kes Najib? Hakikatnya, Najib masih berhak untuk membuat rayuan dan memohon pengampunan. Ini juga sama seperti yang dilakukan  Anwar ketika beliau sedang menjalani hukuman penjara.

Bagi aspek persepsi antarabangsa pula, mahasiswa PKR mendakwa kes Anwar dilihat dari sudut hak asasi manusia kerana wujud kemungkinan berlakunya perbicaraan yang tidak adil, manakala kes Najib pula sering dikaitkan dengan isu kleptokrasi.

Ya, pandangan antarabangsa terhadap kedua-dua kes tersebut memang boleh dilihat dari sudut sedemikian. Namun, pandangan dari luar negara tidak seharusnya dijadikan satu-satunya ukuran dalam menilai kes-kes yang berlaku di dalam negara. Ini kerana keadaan, undang-undang dan sistem sesebuah negara mungkin berbeza dengan negara lain, maka tidak sesuai untuk dibandingkan secara begitu mudah.

Mahasiswa PKR sewajarnya memainkan peranan sebagai golongan anak muda yang berani bersuara dan berfikir secara kritis dalam parti tersebut, bukannya sekadar menjadi ‘penyelamat’ kepada pemimpin parti. Mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk menilai dan memperbetulkan perjuangan parti mereka yang semakin jauh daripada tujuan asal. –UTUSAN

TEO WEI HONG

Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×