Aksi dramatik Selangor FC mara ke separuh akhir Piala FA

Aksi dramatik Selangor FC mara ke separuh akhir Piala FA

HARITH HAIQAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC mara ke peringkat separuh akhir Piala FA dengan penuh dramatik apabila menewaskan Kuching City FC 5-3 menerusi penentuan penalti di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Penentuan penalti terpaksa dibuat selepas skuad kendalian Nidzam Jamil mencipta kemenangan 3-2 pada aksi timbal balik suku akhir sekali gus mencatat keputusan agregat seri 4-4.

Kuching City FC berada di depan menerusi jaringan Shamie Iszuan seawal minit ke-15 selepas menerima umpanan daripada Jordan Mintah.

Tersentak dengan gol tersebut, Selangor FC menyamakan kedudukan menerusi rembatan kaki kanan Ahmad Zikri Mohd Khalili pada minit ke-27 berpunca daripada sepakan penjuru Yohandry Orozco.

Tuan rumah mengukuhkan kedudukan menerusi rembatan kaki kiri Alvin Fortes untuk merobek gawang pasukan pelawat pada minit ke-39.

Perlawanan terhenti seketika pada minit ke-63 selama 15 minit berikutan masalah lampu limpah stadium.

Selepas perlawanan kembali bersambung, Selangor FC kehilangan khidmat Orozco yang dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain lawan.

Bagaimanapun, permainan semakin rancak apabila Fortes menjaringkan gol keduanya pada minit ke-114 sebelum Mohamad Alif Hassan kembali menyamakan kedudukan selang seminit kemudian.

Selangor FC kehilangan seorang lagi pemain apabila Reziq Bani Hani turut dilayangkan kad merah.

Perlawanan terpaksa ditentukan menerusi tendangan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat agregat 4-4 dan Harith Haiqal muncul wira apabila sepakannya memastikan Selangor FC melakar kemenangan 5-3.

Selangor FC dijadual menentang Terengganu FC di venue yang sama dalam aksi separuh akhir pertama pada 20 Julai ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN