Polis puji budaya politik matang PRK Sungai Bakap

Polis puji budaya politik matang PRK Sungai Bakap

PUSPANATHAN (tengah) ketika sidang akhbar di IPD Seberang Perai Selatan (SPS) di Jawi, Nibong Tebal di sini hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Polis memuji budaya politik matang yang diamalkan oleh jentera Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Jurucakap Polis Pulau Pinang bagi PRK tersebut, Senior Asisten Komisioner W. Puspanathan berkata, sepanjang tempoh empat hari kempen berlangsung, sebanyak 17 permohonan permit telah diluluskan.

“Tiada permohonan yang ditolak setakat ini dan kita puji usaha kedua-dua parti yang memohon permit serta menjalankan kempen bergerak dengan mematuhi peraturan ditetapkan.

“Sehingga kini, tidak ada juga laporan-laporan berhubung kesalahan berkaitan pilihan raya diterima semasa kempen mahupun menerusi hantaran di media sosial.

“Sekiranya kerjasama baik ini diteruskan sehingga hari pengumuman keputusan (6 Julai), saya percaya kita takkan ada masalah dan rakyat takkan takut untuk keluar mengundi,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan di Jawi, di sini hari ini.

Tambah Puspanathan, dalam tempoh kempen berbaki 11 hari lagi, semua pihak termasuklah pemimpin, calon serta penyokong parti dinasihatkan agar tidak menyentuh isu 3R iaitu agama, kaum dan raja selain menghindari ucapan boleh menimbulkan ketegangan dan provokasi dalam sesi ceramah.

“Kita menyeru semua pihak dan masyarakat supaya tidak terpengaruh akan maklumat yang tidak sahih dan dapatkan informasi daripada sumber yang dipercayai.

“Rujuk kepada kepada pihak polis sekiranya wujud pelanggaran undang-undang untuk diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Dr. Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail. Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi PRK berkenaan pada 6 Julai, manakala pengundian awal pada 2 Julai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN