PN Pulau Pinang sebulat suara sokong Pas pertahan kerusi Sungai Bakap

PN Pulau Pinang sebulat suara sokong Pas pertahan kerusi Sungai Bakap

JAWATANKUASA PN Pulau Pinang yang diketuai Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai (tengah) mengadakan perbincangan mengenai PRK Sungai Bakap di George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang akan memberi sokongan penuh kepada parti penyandang iaitu Pas untuk menghantar wakil mereka bagi mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, 6 Julai depan.

Jurucakap PN negeri berkata, kata sepakat itu dicapai pada mesyuarat jawatankuasa yang diadakan pada Ahad lepas.

“PN Pulau Pinang juga telah melantik wakil daripada Pas sebagai Pengarah PRK bagi kerusi DUN Sungai Bakap serta mengarahkan semua badan perhubungan kawasan Parlimen untuk memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Dalam hal ini juga, calon PN bagi PRK DUN Sungai Bakap akan ditentukan dan diumumkan oleh Majlis Tertinggi PN,” katanya di sini, hari ini.

Menurut jurucakap itu, harapan besar PN adalah untuk mendapatkan mandat semula pengundi di DUN Sungai Bakap supaya terus menyelia kerajaan melalui PRK serta berusaha menambah baik kemudahan asas dalam Kadun berkenaan.

“PN Pulau Pinang juga berharap pengundi di DUN Sungai Bakap dapat melaungkan suara penentangan rakyat yang kuat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Pusat bagi pihak rakyat Pulau Pinang terhadap tarif air yang melambung tinggi serta isu diesel,” kata beliau.

Tambahnya, oleh kerana kuasa mutlak kerajaan PH yang terlalu kuat, maka mereka terlupa mengenai hasrat asal perjuangan politik yang berjiwa rakyat.

“Kerajaan mutlak hari ini boleh dikatakan langsung tidak bertanggungjawab sehingga mengabaikan beban dan tekanan kewangan rakyat.

“Kerajaan sewenang-wenangnya menaikkan pelbagai bayaran dan cukai, termasuk baru-baru ini kerajaan Pulau Pinang mengatakan sedang mengkaji untuk menaikan cukai tanah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×