PETALING JAYA: Pengurus skuad Bawah 16 (B-16) negara, Christopher Raj sedia melepaskan jawatannya itu jika gagal membawa pasukan negara layak ke Piala Asia Bawah 17 (B-17) pada 2025.
Christopher meluahkan hasratnya itu selepas kegagalannya membawa pasukan negara melepasi peringkat kumpulan dalam Kejuaraan B-16 ASEAN.
“Tahun lalu, skuad negara berjaya layak ke Piala Asia B-17 2023. Maka tidak mustahil kami berjaya melakukan sekali lagi.
“Bagaimanapun sekiranya gagal, saya akan mengundurkan diri untuk memberi peluang kepada muka baru menggalas tanggungjawab ni bersama skuad negara ke peringkat lebih tinggi sehingga mencapai misi ke Piala Dunia.
“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada ibu bapa pemain yang banyak bekorban memberi sokongan dan ada yang sanggup terbang ke sini bersama kami sebagai penyokong sejak perlawanan pertama.
“Terima kasih kepada Presiden FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang menyediakan segala keperluan dan kelengkapan pasukan menghadapi kejohanan ini.
“Terima kasih kepada Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donnel dan Pengarah Teknikal NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan) Oscar Gonzalez dan jurulatih, Javiera Ribera serta barisan kejurulatihan dan pegawai pasukan,” katanya.
Skuad kendalian Ribera itu menamatkan saingan Kumpulan C di tangga ketiga selepas mengutip tiga mata manakala pendahulu dihuni oleh Australia berkongsi mata bersama Thailand di tempat kedua namun dipisahkan dengan perbezaan gol.
Timor Leste berada di tangga tercorot tanpa sebarang kutipan mata.
Bagi kempen kelayakan Piala Asia B-17 2025, Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama tuan rumah, Laos diikuti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Lubnan.
Sepuluh juara kumpulan dan lima naib juara terbaik akan layak ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung di Arab Saudi pada 3 hingga 20 April 2025. – UTUSAN









