EAST RUTHERFORD: Pengendali Perancis, Didier Deschamps enggan dibuai kemenangan bergaya 3-0 ke atas Sweden, sebaliknya menegaskan Les Bleus masih jauh daripada prestasi terbaik menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026.
Perancis yang akan berdepan Paraguay pada pusingan kalah mati meneruskan rentak cemerlang apabila meledak 13 gol dalam empat perlawanan, namun Deschamps mengakui pasukannya masih memiliki beberapa kelemahan yang perlu segera diperbaiki.
Menurutnya, anak buahnya sepatutnya menamatkan saingan lebih awal selepas mencipta banyak peluang pada babak pertama, namun kegagalan menyempurnakan penyudah menyebabkan mereka terpaksa menunggu sehingga separuh masa kedua untuk mengesahkan kemenangan.
“Kami melakukan apa yang perlu dilakukan walaupun sedikit berhati-hati dalam 15 minit pertama.Selepas itu kami berjaya mencipta banyak peluang, cuma kami tidak cukup tajam pada separuh masa pertama.
“Kami sepatutnya sudah menamatkan perlawanan lebih awal, tetapi kami memaksa mereka bekerja keras dan ia menjadi lebih mudah selepas rehat,” katanya.
Meskipun berjaya melepasi halangan pertama di pusingan kalah mati dengan meyakinkan, Deschamps mengingatkan bahawa cabaran sebenar hanya bermula.
“Peringkat kalah mati sentiasa sukar untuk semua pasukan. Walaupun kami memudahkan tugas hari ini, kami baru berada di pusingan 16 terbaik,” ujarnya.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa Perancis kini berada dalam zon selesa atau terlalu yakin dengan status mereka sebagai antara calon utama menjulang trofi.
“Kami tidak akan terlalu hanyut. Kami akan menikmati kemenangan ini terlebih dahulu sebelum kembali fokus dalam tempoh 48 jam.
“Kami tahu apa yang menanti dalam tempoh empat hari lagi. Selepas meraikan kemenangan ini, kami perlu bersedia untuk mengulanginya sekali lagi,” katanya.
Deschamps turut mengakui benteng Perancis masih perlu diperkemaskan walaupun penjaga gol, Mike Maignan mempamerkan aksi cemerlang.
“Kami perlu terus meningkatkan tahap permainan kerana lawan selepas ini akan lebih kuat. Mereka akan menyerang dan bertahan dengan lebih baik.
“Masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki. Kami memberi terlalu banyak peluang kepada lawan walaupun Mike Maignan beraksi cemerlang. Kami perlu membuat sedikit penyesuaian daripada segi posisi,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau memuji semangat berpasukan yang dipamerkan pemain-pemainnya, terutama ketika bertahan dan melakukan transisi.
“Terdapat keserasian yang sangat baik apabila kami menguasai bola ketika berdepan pasukan yang bertahan rapat, dan apabila kehilangan bola semua pemain sanggup bekerja keras.
“Semua pemain memainkan peranan. Saya berpuas hati dan bangga dengan perkara itu. Kini kami perlu mengekalkannya dan terus mengulanginya,” katanya.-AGENSI










