Pendaki hilang tiga hari ditemui selamat dalam gaung Gunung Jerai

Pendaki hilang tiga hari ditemui selamat dalam gaung Gunung Jerai

ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 meter di Padang Tok Sheikh, Gunung Jerai. - IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Seorang lelaki yang hilang hampir tiga hari selepas dipercayai tergelincir ke dalam gaung ketika mendaki Gunung Jerai berjaya diselamatkan pasukan bomba, malam tadi.

Mangsa, S. T. Ragu, 34, ditemui dalam keadaan selamat kira-kira 20 meter dari tebing gaung selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak.

Komander Operasi Kanan, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, panggilan kecemasan diterima kira-kira pukul 7.30 malam yang memaklumkan terdapat mangsa terjatuh ke dalam gaung di kawasan Padang Tok Sheikh, Gunung Jerai.

“Setibanya di lokasi, anggota menemui tiga pendaki lain yang memaklumkan mereka terdengar suara orang meminta tolong dari arah gaung pada jarak kira-kira 15 hingga 20 meter dari tebing.

“Mangsa dipercayai telah hilang hampir tiga hari, pasukan bomba kemudian cuba memanggil mangsa dari tebing namun tidak menerima sebarang maklum balas sebelum memulakan operasi menuruni gaung menggunakan sistem tali.

“Pasukan penyelamat akhirnya menemui mangsa pada jarak kira-kira 20 meter dari tebing dalam keadaan selamat dan berjaya membawanya naik pada pukul 9.37 malam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, hasil temu bual mendapati mangsa mendaki Gunung Jerai secara bersendirian kira-kira pukul 4 petang, Ahad lalu sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam gaung.

Ahmad Naufal berkata, mangsa gagal mendapatkan bantuan kerana semua barangan peribadinya termasuk alat komunikasi hilang semasa kejadian.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan dan berada dalam keadaan stabil. Dia kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk diambil keterangan sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani bagi pemeriksaan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN