Apabila Selat Hormuz ditutup pada akhir Februari lalu, Malaysia diramal berdepan krisis besar.
Kebanyakan penganalisis menjangkakan harga minyak akan melonjak, bekalan terganggu dan ekonomi serantau terjejas.
Benar, sebahagian daripada jangkaan itu berlaku. Namun, Malaysia berjaya menangani krisis tersebut lebih baik daripada apa yang diramalkan.
Unjuran pertumbuhan ekonomi meningkat dan tidak menurun. Bekalan bahan api juga kekal stabil dan komitmen eksport gas berjaya dipenuhi.
Antara faktor utama yang membantu negara mengharungi keadaan itu ialah Petronas.
Oleh sebab itu, perkembangan yang berlaku terhadap syarikat berkenaan wajar diberikan perhatian lebih serius.
Persoalannya bukan sama ada Petronas diuruskan dengan sempurna atau semua kritikan terhadapnya tidak berasas. Sebahagian daripada kritikan itu sememangnya serius.
Namun, persoalan yang lebih penting ialah sama ada negara boleh terus bergantung kepada Petronas untuk menjana hasil, menghadapi pertikaian undang-undang dan pada masa yang sama, membantu menangani krisis negara,
Kebergantungan itu tidak seharusnya berlaku sehingga melemahkan kekuatan yang menjadikan Petronas begitu bernilai kepada negara.
Bukan GLC biasa
Malaysia mempunyai banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Kebanyakannya mampu bertahan kerana dilindungi daripada persaingan sebenar dalam pasaran domestik.
Namun, Petronas berbeza. Apabila Akta Kemajuan Petroleum diluluskan pada 1974, matlamatnya bukan sekadar mengutip hasil minyak.
Tujuan utamanya adalah untuk membina sebuah syarikat tempatan yang mampu mengendalikan perniagaan tenaga bertaraf dunia.
Bagi mencapai matlamat itu, Petronas mempelajari kepakaran daripada syarikat minyak asing dan melatih jurutera tempatan selama bertahun-tahun.
Usaha tersebut akhirnya membolehkan Petronas bersaing dengan syarikat tenaga utama dunia.
Ahli ekonomi, Pietro Masina menyifatkan Petronas sebagai antara syarikat dari negara bekas jajahan yang benar-benar berjaya menguasai industri global yang begitu kompleks.
Keupayaan Petronas merangkumi penerokaan minyak, penggerudian laut dalam, penghantaran gas asli cecair dan pengendalian projek antarabangsa berskala besar.
Kebanyakan negara yang kaya dengan minyak memperoleh hasil daripada sumber itu, tetapi tidak berjaya membina kepakaran sendiri. Malaysia pula memperoleh kedua-duanya.
Hari ini, Petronas beroperasi di lebih 100 negara dan mempunyai pejabat jualan di 22 negara.
Syarikat itu juga berjaya menangani kesan penutupan Selat Hormuz tanpa memerlukan bantuan penyelamatan daripada pihak lain.
Apa yang terlepas daripada perdebatan
Kebanyakan perbahasan mengenai Petronas berkisar tentang wang, termasuk jumlah yang diterima Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah serta jumlah yang disimpan oleh syarikat itu.
Semua persoalan tersebut wajar dibangkitkan dan mempunyai latar sejarah yang tersendiri.
Sarawak dan Sabah menghasilkan sebahagian besar kekayaan minyak dan gas negara.
Pada masa ini, pertikaian mengenai sejauh mana kawalan yang patut diberikan kepada negeri berkenaan sedang dibawa ke mahkamah.
Apa pun keputusan mahkamah, pertikaian yang belum selesai mewujudkan ketidakpastian dan menyukarkan Petronas membuat keputusan pelaburan jangka panjang.
Tujuan perbincangan ini bukan untuk menentukan pihak yang betul atau salah. Namun, setiap tuntutan itu akhirnya perlu ditanggung oleh syarikat yang sama.
Petronas masih perlu menjalankan perniagaan seperti biasa ketika semua pihak berdebat mengenai hak dan pembahagian hasil.
Pengalaman di negara lain menunjukkan bahawa masalah syarikat minyak nasional bukan berpunca daripada persoalan mengenai wang semata-mata.
Semua syarikat minyak milik kerajaan sememangnya berdepan tuntutan serta tekanan kewangan.
Masalah sebenar berlaku apabila kerajaan menganggap syarikat minyak nasional sebagai sumber kewangan tanpa had.
Coraknya sama. Wang dikeluarkan selama bertahun-tahun, tetapi terlalu sedikit dilaburkan semula.
Akibatnya, pengeluaran mula merosot, hutang meningkat dan tenaga mahir yang menjadi kekuatan syarikat mula meninggalkannya.
Kerosakan itu biasanya tidak berlaku secara mendadak, tetapi sedikit demi sedikit.
Apabila pelaburan berkurang dan kepakaran semakin hilang, keupayaan syarikat akan menjadi semakin lemah sehingga tidak lagi mampu memenuhi keperluan negara.
Petronas masih merupakan antara syarikat tenaga terbaik dan belum berdepan keadaan tersebut.
Namun, Petronas boleh menjadi semakin lemah jika terus dibebani pelbagai tuntutan, walaupun setiap tuntutan itu kelihatan munasabah apabila dinilai secara berasingan.
Tiga tekanan serentak
Pada tahun 2026, Petronas sudah berdepan tekanan dari pelbagai sudut.
Tahun sebelumnya, hasil Petronas merosot 17 peratus, manakala keuntungannya turun 18 peratus akibat harga minyak dan jualan yang lebih rendah.
Keadaan menjadi lebih mencabar apabila Selat Hormuz ditutup dan kos minyak mentah melonjak hampir 40 peratus.
Petronas juga terpaksa menanggung kos penghantaran dan insurans yang lebih tinggi di samping memastikan bekalan bahan api dalam negara kekal stabil.
Pada masa sama, Sarawak sedang mencabar undang-undang petroleum Persekutuan di mahkamah.
Pertikaian tersebut mewujudkan ketidakpastian mengenai pihak yang berhak memperoleh hasil daripada sumber petroleum.
Keadaan itu menyukarkan Petronas membuat keputusan mengenai projek minyak jangka panjang yang memerlukan antara 15 hingga 20 tahun untuk memperoleh pulangan.
Setiap tuntutan mungkin mempunyai alasan tersendiri.
Namun, kesemuanya perlu ditanggung oleh Petronas yang sudahpun berada di bawah tekanan.
Dibina hanya sekali
Korea Selatan melindungi Samsung, manakala Taiwan melindungi TSMC.
Syarikat itu dilindungi bukan disebabkan rasa bangga, tetapi kerana syarikat seperti itu mengambil masa beberapa generasi untuk dibangunkan dan sukar untuk ditukar ganti.
Begitu juga dengan Petronas. Petronas dibangunkan pada 1970-an ketika hala tuju kerajaan jelas.
Ketika itu, industri minyak sedang berkembang dan negara mempunyai perancangan jangka panjang. Keadaan yang sama sukar diwujudkan semula hari ini.
Perdebatan mengenai pembahagian hasil Petronas tetap perlu diteruskan dan tidak seharusnya diketepikan.
Namun, kekuatan dan kepentingan syarikat itu juga perlu dipelihara.
Formula cukai atau royalti boleh dirunding semula, manakala kes mahkamah boleh mengambil masa untuk diselesaikan.
Tetapi kepakaran dan pengalaman yang membantu Malaysia mengharungi penutupan Selat Hormuz tidak mudah dibina semula sekiranya hilang.
Krisis Selat Hormuz mungkin akan berlalu, tetapi kesan daripada kegagalan menguruskan Petronas boleh mencetuskan krisis berpanjangan.
Penulis ialah penganalisis geopolitik dan perunding tenaga asia global










