KITA hendaklah meminta bantuan daripada Allah SWT dan bukannya kepada makhluk dengan maksud hendaklah mempunyai keimanan hanya Allah yang berkuasa untuk mengadakan atau meniadakan.
Ini ditegaskan oleh sabda Rasulullah SAW kepada Saidina Abdulloh ‘Abbas: Apabila anda meminta, mintalah kepada Allah. Apabila anda meminta bantuan, mintalah bantuan daripada Allah.
Namun timbul persoalan, bolehkah kita meminta bantuan daripada orang yang telah meninggal dunia (istighasah).
Contohnya seseorang yang menziarahi makam Tokku Paloh yang merupakan seorang wali Allah terkenal di Terengganu lalu dia berkata di sisi makam tersebut:
“Wahai Tokku Paloh. Saya mempunyai masalah kewangan yang begitu teruk. Tolonglah saya?” Islam mengajar kita bersangka baik terhadap seorang muslim.
Bahkan sekiranya ucapan seseorang muslim boleh difahami dengan kefahaman yang salah dari sudut aqidah dan boleh juga difahami dengan kefahaman yang betul, kita hendaklah memahaminya berdasarkan kefahaman yang benar.
Ini kerana akidah seseorang muslim yang mengatakan bahawa yang berkuasa hanyalah Allah SWT akan menjadi penyebab utama untuk dia tidak dika rkan sekiranya ucapannya seakanakan bercanggah dengan aqidahnya.
Oleh itu apabila seorang muslim yang baru sihat daripada penyakitnya berkata: “Ubat yang saya makan ini telah menyembuhkan sakit saya,” kita tidak boleh beranggapan bahawa dia telah mensyirikkan Allah dengan alasan dia telah beriktikad bahawa penyembuh penyakitnya adalah ubat tersebut sebaliknya kita hendaklah memahami bahawa dia ingin menyatakan bahawa dia akhirnya sembuh dengan izin daripada Allah setelah makan ubat tersebut.
PANDANGAN ULAMA
Al-Imam Taqiyyuddin al-Subkiyy menjelaskan meminta bantuan orang-orang soleh yang telah meninggal dunia adalah tidak salah.
Beliau berkata di dalam kitab Shifa al-Saqom: Ketahuilah bahawa sesungguhnya boleh dan bagus bertawassul, meminta pertolongan dan memohon syafaat dengan (perantaraan) Nabi SAW kepada tuhan baginda.
Keharusan dan kebagusan tersebut (termasuk) daripada perkara-perkara diketahui oleh setiap orang yang memiliki agama yang (perkara-perkara tersebut) diketahui daripada perbuatan para Nabi dan Rasul, sejarah orang-orang terdahulu yang soleh, para ulama dan orang-orang awam daripada (kalangan) orang-orang Islam.
Tidak ada seorangpun daripada ahli agama yang mengingkari perkara tersebut dan tidak pernah didengar pengingkaran tersebut pada sebarang zaman pun (sebelum ini) sehinggalah datang Ibnu Taimiyah lalu beliau bercakap dalam perkara tersebut dengan ucapan yang menyebabkan orang-orang yang lemah yang ditutup (daripada mengetahui kebenaran) berada dalam keadaan samar-samar.
Beliau melakukan satu bidaaah yang tidak pernah dibuat sebelumnya pada zaman sebelum ini. Al-Imam Taqiyyuddin al-Hisniyy juga berkata: Sesungguhnya meminta bantuan daripada Nabi SAW dan berlindung diri di kubur baginda serta memohon bantuan daripada baginda adalah banyak (berlaku) dengan bermacam-macam hajat.
Para ulama menulis satu bab untuk (menjelaskan perkara) tersebut dan berkata: Sesungguhnya orang yang telah berlindung diri di maqam Baginda dengan meminta bantuan daripada baginda serta mengadu kepada baginda akan kefakirannya dan kemudaratan (yang menimpa dirinya) akan menyebabkan kemudaratan tersebut dihilangkan dengan izin Allah Taala.
DALIL MENGHARUSKAN
Al-Imam al-Tirmidzi contohnya meriwayatkan satu hadis yang kuat berstatus Hadis Hasan Sahih Ghorib (hadis ke-3927 menurut cetakan al-Maknaz alIslamiyy) yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah mengajar seorang sahabat Baginda yang buta matanya untuk berdoa kepada Allah sambil menyeru nama Nabi Muhammad SAW di dalam doa tersebut.
Hadis ini berbunyi: Daripada (Saidina) ‘Uthman bin Hunayf bahawa sesungguhnya seorang lelaki yang tidak nampak matanya telah menemui Nabi SAW lalu beliau telah berkata: Mohonlah kepada Allah agar Dia memberikan kesembuhan kepada saya.
Baginda bersabda: Sekiranya anda mahu, saya akan berdoa. Sekiranya anda mahu, anda (hendaklah) bersabar. Maka itulah yang (lebih) baik untuk anda. Beliau berkata: Maka (yang saya pilih adalah) anda berdoalah kepada-Nya (untuk kesihatan mata saya).
Maka baginda memerintahkan beliau untuk berwuduk lalu beliau (hendaklah) memperelokkan wuduknya dan beliau (hendaklah) berdoa dengan doa ini: Ya Allah. Sesungguhnya daku meminta kepada-Mu dan daku menghadap kepadaMu dengan (perantaraan) Nabi-Mu Muhammad (yang merupakan) Nabi Rahmat.
Sesungguhnya saya menghadap dengan (perantaraan) anda (wahai Nabi Muhammad) kepada tuhan saya pada hajat saya ini agar hajat ini ditunaikan untuk saya. Ya Allah. Maka jadikanlah Baginda sebagai pemberi syafaat (iaitu orang perantaraan) buat saya.
Doa diajarkan Nabi SAW ini jelas di dalamnya terdapat seruan kepada Rasulullah SAW iaitu pada ucapan: Sesungguhnya saya menghadap dengan (perantaraan) anda (wahai Nabi Muhammad) kepada tuhan saya pada hajat saya ini agar hajat ini ditunaikan untuk saya.
Maka ini secara jelas mena kan bahawa maksud menyeru yang dilarang di dalam Surah al-Jinn ayat ke-18: Sesungguhnya masjid-masjid adalah milik Allah.
Maka janganlah kalian menyeru seseorang pun bersama-sama Allah adalah semata-mata menyeru nama seseorang sebaliknya maksud menyeru yang dilarang di dalam ayat di atas adalah menyembah.
Di dalam riwayat yang lain, Saidina Uthman bin Hunayf selepas kewafatan Nabi SAW telah mengajar doa ini kepada orang ramai agar mereka dapat membacanya supaya hajat mereka dimakbulkan oleh Allah SWT.
Maka ini menunjukkan tidaklah bermasalah jika seseorang menyeru nama Nabi SAW di dalam doanya untuk meminta bantuan Rasulullah SAW semasa hayat hayat baginda atau selepas kewafatan baginda. Ini kerana ruh sama sekali tidak mati apatah lagi para nabi dan rasul yang ruh serta jasad mereka sama sekali tidak binasa.
Ulama menjelaskan, meminta bantuan Rasulullah SAW dan wali Allah bukan bermakna kita beriktikad baginda dan para wali Allah memiliki kuasa untuk mengadakan atau meniadakan sesuatu.
Meminta bantuan mereka hanyalah sebagai salah satu usaha agar Allah mengabulkan permintaan kita melalui perantaraan doa mereka.
Ada juga pihak yang membantah tindakan meminta bantuan orang yang telah meninggal dunia dengan alasan kita hanya boleh meminta bantuan kepada orang yang masih hidup dan bukannya orang yang telah meninggal dunia.
Namun hujah ini dibantah semula kerana kematian bukanlah bererti ketiadaan sebaliknya kematian adalah perpindahan roh dari kehidupan dunia kepada kehidupan akhirat.
Maka sebagaimana doa orang yang masih hidup bermanfaat kepada seseorang, maka begitu juga doa yang telah meninggal dunia kepada seseorang yang masih hidup kerana ruhnya tetap hidup.
Bahkan menurut guru kami Fadhilat al-Syeikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy; doa biasanya akan mustajab sekiranya doa tersebut dipohon di sisi makam orang-orang soleh kerana doa yang diaminkan oleh roh mereka akan dikabulkan oleh Allah.
Ia berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: Orang-orang yang telah beriman dan telah beramal soleh berada di dalam taman-taman syurga. Bagi mereka apa sahaja yang mereka inginkan di sisi tuhan mereka. Itu adalah lebihan [kurniaan] yang besar. (al-Syura: 22).
Fadhilat al-Syeikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy turut menyatakan bahawa kubur orang-orang soleh adalah taman-taman syurga.
-PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir










