PETALING JAYA: Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah mahu melahirkan lebih ramai juara dunia selepas diangkat sebagai jurulatih skuad angkat berat negara pada bulan lalu.
Mohd Syarul yang popular dengan gelaran Mike juga mengakui, Malaysia mempunyai ramai atlet bina badan yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Mike yang juga Olahragawan Kebangsaan 2023 berkata, pembentukan generasi baharu dalam sukan itu amat penting untuk menjaga nama Malaysia dalam arena angkat berat dunia.
“Kita ada ramai atlet yang berpotensi terutamanya dari Sarawak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Apa yang saya perlu lakukan hanya membawa mereka ke landasan yang tepat.
“Selepas dilantik menjadi jurulatih kebangsaan, saya yakin mampu melahirkan juara dunia malah lebih baik daripada pencapaian saya sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mike menyatakan rasa kagum terhadap pencapaian atlet bina badan yang sedia ada kini susulan kejayaan di kejohanan Asia Tenggara.
Katanya, kejayaan Joseph Ladi dari Sarawak mengungguli Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik Asia Tenggara 2024 di Laos dan dipercayai boleh menjadi penyambung legasinya.
“Saya bawa pasukan di Laos dan sangat tidak menyangkakan Joseph merangkul pingat emas pada penampilan sulungnya di kejohanan terbabit.
“Itu membuat saya teruja dan membuka mata saya terdapat ramai atlet yang berpotensi untuk menjadi atlet bina badan bertaraf dunia.
Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2024 menjadi medan Mike untuk menunjukkan kebolehannya sebagai jurulatih kebangsaan yang mana dijadualkan berlangsung pada November ini di Maldives.-UTUSAN










