Maldives mengharamkan pasport Israel

Maldives mengharamkan pasport Israel

MOHAMED Muizzu berucap pada sidang kemuncak iklim COP28 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. -REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALE: Kerajaan Maldives akan mengharamkan warga Israel dari memasuki kepulauan Lautan Hindi yang terkenal dengan pantai berpasir putih dan pusat peranginan mewah itu.

Pengharaman itu berikutan kemarahan orang ramai di negara yang didominasi penduduk Islam itu berhubung perang di Gaza.

Presidennya,  Mohamed Muizzu memutuskan untuk mengenakan larangan ke atas pasport Israel.

Jurucakap pejabat Mohamed berkata dalam satu kenyataan, tiada butiran bila undang-undang baharu itu akan berkuat kuasa.

Muizzu juga mengumumkan kempen pengumpulan dana kebangsaan yang dipanggil “Maldives in Solidariti with Palestine”

Hampir 11,000 warga Israel melawat Maldives tahun lalu, iaitu 0.6 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong.

Data rasmi juga menunjukkan bilangan warga Israel yang melawat Maldives menurun kepada 528 dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, turun 88 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Parti pembangkang dan sekutu kerajaan di Maldives memberi tekanan kepada Muizzu untuk mengharamkan Israel sebagai tanda protes terhadap perang Gaza. 

Sekurang-kurangnya 36,439 rakyat Palestin terbunuh dan 82,627 cedera dalam konflik sejak 7 Oktober lalu.

Sebelum ini, Maldives menarik balik larangan ke atas pelancong Israel pada awal 1990-an dan bergerak untuk memulihkan hubungan pada 2010. 

Bagaimanapun, percubaan normalisasi  gagal berikutan penggulingan Presiden, Mohamed Nasheed pada Februari 2012.

Sebagai tindak balas kepada larangan itu, jurucakap Kementerian Luar Israel menggesa rakyat yang kini berada di Maldives untuk berlepas.

 “Bagi warga Israel yang tinggal di negara itu, adalah disyorkan untuk mempertimbangkan untuk meninggalkannya kerana jika mereka mengalami kesusahan atas sebab apa pun, sukar bagi kami untuk membantu,” kata kementerian itu.

Pemegang pasport Israel juga tidak dibenarkan memasuki Algeria, Bangladesh, Brunei, Iran, Iraq, Kuwait, Lubnan, Libya, Pakistan, Arab Saudi, Syria, dan Yemen. -ALJAZEERA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN