Kadar kelahiran di Jepun kritikal, turun lapan tahun berturut-turut

Kadar kelahiran di Jepun kritikal, turun lapan tahun berturut-turut

JEPUN kini berusaha menangani penurunan kadar kelahiran bagi mengelak krisis demografi.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Kementerian Kesihatan Jepun menyifatkan kadar kelahiran negara itu sebagai kritikal kerana mencapai rekod terendah untuk lapan tahun berturut-turut.

Data dikeluarkan kementerian itu menunjukkan bahawa kadar kelahiran di Jepun iaitu bilangan purata anak yang dijangkakan oleh seorang wanita adalah 1.20 tahun lepas, jauh di bawah purata 2.1 yang diperlukan untuk mengekalkan populasi.

Purata itu turun daripada 1.26 pada 2022 dan merupakan penurunan tahunan berturut-turut untuk kali kelapan di negara berpopulasi 124 juta penduduk.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penurunan berterusan dalam kadar kelahiran adalah kritikal. 

“Pelbagai faktor seperti ketidakstabilan ekonomi dan kesukaran dalam kerja dan membesarkan anak boleh dijadikan punca kejatuhan angka itu,” kata pegawai kementerian kepada AFP.

Penurunan kadar kelahiran adalah trend biasa di negara maju, namun, Jepun masih mengatasi jirannya Korea Selatan yang terendah di dunia pada 0.72.

Dengan populasi tertua di dunia selepas Monaco, Jepun kini berusaha mencari langkah untuk menggalakkan kelahiran bagi mengelak krisis demografi.

Terdahulu, Parlimen meluluskan semakan undang-undang untuk menyediakan lebih banyak sokongan kewangan, akses perkhidmatan penjagaan anak dan memperluaskan faedah cuti untuk ibu bapa.

Ia adalah inisiatif terbaharu kerajaan untuk meningkatkan kadar kelahiran, isu yang disuarakan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida sebagai risiko segera kepada masyarakat Jepun.

Antara inisiatif dilakukan adalah aplikasi temu janji yang dibangunkan oleh kerajaan bandar Tokyo yang akan dilancarkan pada musim panas ini.

Pengguna dikehendaki mengemukakan dokumentasi yang membuktikan mereka bujang secara sah dan menandatangani surat kesediaan untuk berkahwin.

Aplikasi itu turut meminta pengguna menyertakan slip sijil cukai untuk membuktikan gaji tahunan pemohon.

Temu bual juga diperlukan untuk mengesahkan identiti pengguna sebagai sebahagian daripada proses pendaftaran untuk aplikasi itu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini