PETALING JAYA: Pemain badminton perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei bakal beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 tanpa sokongan dan bimbingan daripada jurulatihnya, Nova Armanda.
Jin Wei mengakui bukan mudah untuk mengharungi temasya terbesar di dunia itu tanpa dorongan dan tunjuk ajar daripada jurulatihnya dan dia telah pun meminta kebenaran untuk membawa Nova bersama namun tidak mendapat maklum balas.
“Saya cuba tanya (Majlis Olimpik Malaysia) nak bawa jurulatih tetapi tidak ada maklum balas. Saya seorang sahaja atlet yang tidak mempunyai jurulatih bersama.
“Sepatutnya setiap atlet ke Sukan Olimpik perlu ada jurulatih masing-masing.
“Sebagai pemain elit saya ada kebolehan untuk menguruskan diri cuma kalau ada jurulatih bonus sebab dia boleh membimbing saya. Hari-hari berlatih ada jurulatih tiba-tiba tiada jurulatih, kacau jugalah.
“Sudah tentu tidak bagus tetapi saya telah lakukan yang terbaik untuk membawa jurulatih bersama. Saya berlatih bersamanya selepas meninggalkan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan kami sudah tiga tahun bersama,” katanya.
Jin Wei ditemui pemberita selepas Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin mengadakan lawatan terhadap persiapannya ke temasya itu.
Sementara itu, Hamidin berkata Jin Wei akan berada di bawah pengawasan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky sepanjang temasya itu.
“Saya sudah berbincang dengan jurulatih Nova bahawa Rexy akan menjaga Jin Wei. Saya juga perlu pastikan Rexy akan berhubung dengan Nova dan sebenarnya mereka berdua sudah ada pemahaman mengenai Jin Wei,” katanya.










