Hadiah penalti JDT lebur hasrat Kelantan Darul Naim

Hadiah penalti JDT lebur hasrat Kelantan Darul Naim

PENJAGA gol Kelantan Darul Naim FC, Mohd Muhaimin Mohamad bekerja keras menahan asakan penyerang JDT, Bergson Da Silva pada perlawanan pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Dua sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada babak kedua perlawanan menutup peluang buat Kelantan Darul Naim (KDN) FC untuk mencipta keajaiban dalam aksi pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Penolong Ketua Jurulatih pasukan KDN FC, Rezal Zambery Yahya berkata, barisan pemain telah menunjukkan prestasi yang dimahukan pada babak pertama setelah berjaya mengekang kemaraan Harimau Selatan yang ghairah memburu gol.

“Kita terus bermain bertahan namun malangnya kita terlalu mudah ‘hilang’ bola, itu menambah tekanan buat pasukan dan kita turut dihukum dengan dua penalti.

“Selain itu, bahagian jentera serangan pun tidak beraksi seperti yang dirancang, ini menjadikan kita lebih sukar untuk mencipta kebangkitan pada perlawanan itu,” katanya.

Menurut Rezal Zambery, perjalanan buat skuad Kijang Emas itu masih jauh dan mereka perlu menumpukan bahagian serangan secara keseluruhan yang membolehkan pasukan mencipta sebanyak mana peluang gol.

Dengan cara itu, katanya, potensi buat KDN FC yang terus dilanda kemarau kemenangan untuk meraih kemenangan pertama lebih tinggi sekiranya jentera serangan lebih tajam di hadapan gawang.

“Jika Kita lihat, 90 peratus pemain KDN FC merupakan pemain baharu, kita sedang membentuk pasukan dan membina keserasian dalam kalangan pemain. Jika kita lihat persembahan mereka, ia belum mencapai standard sebenar, perlu diberikan masa.

“Barisan kejurulatihan akan sentiasa beri peluang dan sokongan agar mereka mampu memberi impak di atas padang. Ada sudut positif dan negatif pada perlawanan menentang JDT ini, saya harap ketua jurulatih dapat bantu segalanya sebelum perlawanan bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC,” ujarnya.

Katanya, pertemuan menentang skuad Sang Saka Biru pada 23 Jun ini amat penting setelah ia bakal menjadi titik tolak kepada perjalanan KDN FC dalam saingan Liga Super.

“Menentang PDRM FC di laman sendiri selepas ini adalah perlawanan penting untuk mengutip tiga mata penuh, kita tidak boleh lagi terus ketinggalan dan kehilangan mata,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN