WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata pemimpin Israel, Benjamin Netanyahu mungkin melanjutkan perang di Gaza atas sebab politik.
Biden berkata demikian menurut satu wawancara dengan majalah Time yang dikeluarkan semalam.
Komen dalam wawancara itu dibuat beberapa hari sebelum Biden memperincikan cadangan gencatan senjata di Gaza dan ketika Netanyahu bergelut dengan perpecahan politik yang mendalam di negaranya sendiri.
Ditanya sama ada dia fikir Netanyahu memanjangkan perang atas sebab politiknya sendiri, Biden berkata, terdapat banyak sebab untuk membuat kesimpulan itu.
Biden yang mendesak untuk menamatkan perang hampir lapan bulan juga berkata adalah tidak pasti sama ada tentera Israel melakukan jenayah perang di Gaza.
Beliau menolak dakwaan bahawa Israel menggunakan kebuluran orang awam sebagai kaedah peperangan.
Namun, beliau berfikir mereka terlibat dalam aktiviti yang tidak wajar.
Biden berkata dia memberi amaran kepada Israel supaya tidak melakukan kesilapan sama yang dilakukan oleh AS selepas serangan 11 September 2001 yang membawa kepada peperangan yang tidak berkesudahan.
“Dan mereka membuat kesilapan itu,” katanya.
Bulan lalu, pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague meminta waran tangkap untuk Netanyahu dan ketua pertahanannya serta tiga pemimpin Hamas, atas dakwaan jenayah perang.
Israel melancarkan serangan udara dan darat di Gaza Oktober lalu berikrar untuk memusnahkan kumpulan Hamas selepas ia menyerang di dalam Israel, membunuh kira-kira 1,200 orang dan menjadikan lebih 250 orang tebusan, menurut pengiraan Israel.
Kira-kira 120 tebusan kekal di Gaza.
Serangan Israel pula membunuh lebih 36,000 orang di Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan di sana yang mengatakan beribu-ribu lagi mayat tertimbus di bawah runtuhan.
Tinjauan pendapat menunjukkan kebanyakan rakyat Israel menyokong perang tetapi menyalahkan Netanyahu atas kegagalan keselamatan apabila lelaki bersenjata Hamas menyerang Israel berhampiran Gaza pada 7 Oktober lalu.
Di Israel, protes jalanan besar-besaran menjadi acara mingguan, menarik puluhan ribu rakyat yang menuntut kerajaan berbuat lebih banyak untuk membawa pulang tebusan yang dirampas oleh Hamas pada 7 Oktober lalu dan menyeru Netanyahu untuk meletakkan jawatan. -REUTERS










