Bapa didakwa lakukan amang seksual, seks luar tabii terhadap anak perempuan

Bapa didakwa lakukan amang seksual, seks luar tabii terhadap anak perempuan

SEORANG penjawat awam (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas dakwaan melakukan amang seksual dan hubungan seks luar tabii terhadap anak perempuan kandungnya, bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual dan hubungan seks luar tabii terhadap anak perempuan kandungnya, bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 38 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan sebaik sahaja dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit yang didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa didapati telah melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berusia empat tahun.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Seri Emas di Nibong Tebal antara pukul 5.30 hingga 6.30 petang pada Mei lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16 itu iaitu penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh dihukum sebatan tidak kurang dua sebatan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perhubungan seks bertentangan tabii terhadap mangsa pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.

Justeru, lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal turut memohon agar tiada jaminan diberikan kerana dikhuatiri kejadian sama akan berulang kerana mangsa tinggal serumah bersama tertuduh.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 15 Julai depan sebagai tarikh untuk sebutan semula kes.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN