Bantuan kemanusiaan dihantar semula ke Gaza dari jeti

Bantuan kemanusiaan dihantar semula ke Gaza dari jeti

PENDUDUK Palestin menyerbu trak ketika mereka mengangkut bantuan kemanusiaan antarabangsa dari Jeti Trident yang dibina AS berhampiran Nuseirat di tengah Gaza pada 18 Mei lalu. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Bantuan yang amat diperlukan rakyat Palestin dihantar semula ke Gaza dari jeti yang baru diperbaiki Amerika Syarikat (AS) setelah mengalami kerosakan dibadai ombak lautan.

Usaha membawa bekalan kemanusiaan ke Palestin melalui jalan laut mengundang pelbagai masalah.

Jeti yang dibina oleh tentera AS hanya beroperasi kira-kira seminggu sebelum ia dihanyutkan angin kencang dan laut deras pada 25 Mei lalu.

JETI DISAMBUNG SEMULA

Bahagian yang rosak itu bagaimanapun disambung semula ke pantai di Gaza pada Jumaat lalu selepas menjalani pembaikan di pelabuhan Israel.

Anak kapal AS menghantar kira-kira 492 tan metrik bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui jeti, kelmarin, kata pegawai AS.

Penghantaran itu serentak dengan tindakan Israel me­lancarkan serangan udara dan darat untuk menyelamatkan empat tebusan diambil oleh Hamas semasa serangan 7 Oktober lalu yang melancarkan perang di Gaza, lapor Agensi.

Sekurang-kurangnya 210 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, terbunuh, kata seorang pegawai kesihatan Gaza.

PENGHANTARAN DARI JETI

Penghantaran melalui jeti membawa kembali satu daripada cara untuk mendapatkan makanan yang sangat diperlukan dan bekalan kecemasan lain kepada rakyat Palestin yang terperangkap oleh perang Israel-Hamas selama lapan bulan.

Hal ini berikutan sekatan Israel ke atas lintasan darat dan pertempuran mengehadkan a­liran makanan dan bekalan penting lain ke wilayah itu.

Kerosakan pada jeti itu adalah batu penghalang terkini untuk projek kemanusiaan berkenaan dan perjuangan berterusan untuk mendapatkan makanan kepada rakyat Palestin yang kelaparan.

Dalam kejadian itu, tiga anggota perkhidmatan AS cedera, seorang kritikal dan empat kapal terdampar akibat laut yang deras.

Sebelum ini, usaha awal untuk mendapatkan bantuan dari jeti ke Gaza terganggu apabila orang ramai menyerbu konvoi trak yang digunakan agensi bantuan untuk mengangkut makanan, malah, penduduk melucutkan kargo sebelum sampai ke gudang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, pegawai AS bertindak balas dengan me­ngubah laluan perjalanan dan bantuan mula sampai kepada mereka yang memerlukan.

Timbalan Komander Komando Pusat AS, Naib Laksamana Brad Cooper memberitahu pemberita bahawa pengajaran yang diperoleh daripada minggu awal operasi dari jeti itu membuatkan dia yakin lebih banyak bantuan boleh disampaikan sekarang.

Beliau berkata, matlamatnya adalah untuk mendapatkan sehingga 500 tan atau 450 tan metrik makanan dan bekalan lain yang bergerak melalui jeti ke Gaza setiap dua hari.

Kata pegawai AS, sebelum tambak pecah dalam ribut, lebih 1,000 tan metrik bantuan dihantar.

Agensi Pembangunan Antarabangsa AS bekerjasama de­ngan Program Makanan Dunia PBB dan rakan kemanusiaan mereka yang bekerja di Gaza untuk mengagihkan makanan, rawatan kecemasan berkhasiat tinggi untuk kanak-kanak yang kelaparan dan bantuan lain me­lalui laluan laut.

Agensi bantuan PBB mendesak Israel untuk membuka semula laluan darat yang boleh membawa masuk semua bantuan yang diperlukan.

Bagaimanapun, Israel berkata ia membenarkan ratusan trak masuk melalui pusat pemeriksaan selatan dan menuding jari kepada PBB kerana tidak me­ngagihkan bantuan.

PBB berkata ia selalunya tidak mendapatkan semula bantuan itu kerana keadaan ke­selamatan.

Agensi PBB memberi amaran bahawa lebih sejuta rakyat Pa­lestin di Gaza boleh mengalami tahap kebuluran tertinggi pada pertengahan bulan depan jika peperangan berterusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN