APA erti perkahwinan kalau tidak mahu ada anak? Dalam ramai daripada kita merancang ada cahaya mata, ada segelintir yang tidak berminatpun untuk ada anak.
Kononnya kelahiran seorang anak itu menyusahkan dan meninggalkan beban. Bukan sahaja kos hidup semakin tinggi, kos jaga anak pun kian meningkat.
Oleh itu, buat apa ada anak sedangkan hidup sesakt? Jalan mudah, melupakan zuriat. Hidup hanya untuk dua insan iaitu suami dan isteri.
Childfree adalah konsep pasangan berkahwin tetapi tidak mahu ada anak. Ia diadaptasi daripada fahaman luar yang saya kira amat mementingkan diri sendiri.
Duit dijadikan sebagai alasan untuk tidak memiliki anak. Sedangkan setiap anak itu sudah tertulis ada rezeki masing-masing.
Dalam kalangan pasangan beragama Islam, apalah ertinya kahwin tetapi tidak mahukan cahaya mata sebab anak itulah sumber pahala dan rezeki serta rahmat dan masjid yang dibina.
Risau komitmen kewangan bertambah hanyalah kerisauan keterlaluan yang pada hakikatnya tidak perlu
terlalu difikirkan sangat.
Apa kata pada usia 40-an ekonomi keluarga tiba-tiba menjadi baik. Waktu itu baru ter kir mahu
mengandungkah?
Malangnya hayat kesuburan seorang isteri tidak seperti suami sebab wanita ada tempoh suburnya.
Silap-silap hari bulan suami mencari alasan anak, untuk tambah cawangan. Kala itu, menyesalpun tidak berguna.
Berkahwin lalu menambah zuriat saranan agama dan ia nikmat kurniaan Allah yang sangat besar.
Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz dalam akhbar mengulas mengenai childfree baru-baru ini, mengatakan, fahaman berkenaan bukanlah baharu, moden atau hebat sebaliknya idea kitar semula bawaan syaitan yang pernah wujud dalam kalangan orang Arab Jahiliah dahulu kala.
“Allah merekodkan alasan miskin (al-An’am 6:151) dan ‘takut miskin’ (al-Isra’ 17:31) menjadi pendorong orang Arab Jahiliah menanam anak perempuan mereka hidup-hidup. Menakut-nakut manusia sehingga mendorong mereka bakhil dan kejam memang kerja syaitan yang keji (al-Baqarah 2:268)”
Bezanya, penganut pemikiran ini tidak pula berhasrat menanam anak mereka hidup-hidup, sebaliknya berazam sejak dari awal perkahwinan untuk tidak mahu ada anak.
Ramai lagi pasangan berkahwin tetapi tidak ada. Mana yang masih berkemampuan, binalah sebuah keluarga.
Rasulullah SAW pernah berkata, “Kalau seseorang meninggal dunia, maka amalnya akan terputus kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi).
Penganut pemikiran childfree, insaf dan kembali kepada fitrah. Hidup di dunia ini sementara sahaja sebab yang kekal itu adalah akhirat.
-Nor Afzan Mohamad Yusof Pengarang Rencana, Utusan Malaysia










