BUKIT MERTAJAM : Kerajaan negeri bersedia memberikan tempoh lanjutan akhir kepada syarikat yang dilantik untuk melaksanakan projek pemulihan tapak pelupusan sampah di Jelutong termasuk projek tambakan laut di Persiaran Karpal Singh di situ.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ketika ini, proses rundingan termasuk surat-menyurat dengan pemaju tersebut masih berjalan terutamanya berkaitan pematuhan syarat bagi mendapatkan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek berkenaan.
“Sebelum ni sudah lima kalilah (tempoh lanjutan diberikan) untuk mematuhi kehendak JAS (Jabatan Alam Sekitar) dan kita dimaklumkan, ada syarat-syarat tambahan yang baharu (dikenakan) setiap kali tempoh itu diberi.
“Jadi, itu antara kekangannya. Tetapi, memandangkan banyak kali kita bagi (tempoh) lanjutan, maka, sudah sampai masanya untuk kita buat keputusan jugalah.
“Oleh itu, jika syarikat terbabit masih gagal mendapatkan kelulusan EIA dalam tempoh yang ditetapkan kali ini, tiada lagi tempoh lanjutan akan diberikan dan projek itu juga tidak akan diteruskan oleh syarikat berkenaan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa menghadiri Program Jelajah CM Chow Bersama Komuniti Ibu Tunggal di pekarangan Masjid Jamek Kebun Sireh di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Chow menegaskan, kerja-kerja pemulihan bekas tapak pelupusan sampah di Jelutong itu tetap perlu dilaksanakan tanpa mengira sama ada projek itu diteruskan oleh syarikat sedia ada atau sebaliknya.
Ditanya sama ada kerajaan negeri akan melantik syarikat lain sekiranya pemaju semasa gagal memenuhi syarat yang ditetapkan, Kon Yeow bagaimanapun berkata, perkara tersebut akan diputuskan apabila tiba masanya kelak.
“Yang penting kerja-kerja pemulihan itu mesti diteruskan. Jika perlu iaitu apabila sampai masanya nanti, kita akan meneliti pilihan atau alternatif yang ada,” ujar beliau.
Kerajaan negeri sebelum ini dilaporkan masih meneliti pelbagai aspek termasuk laporan serta pandangan daripada JAS sebelum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan membangunkan kedua-dua projek yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1 bilion.
Ia susulan pelbagai kritikan yang dilemparkan terhadap projek itu termasuk oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Protect Karpal yang mempersoalkan sama ada pemaju yang terlibat dalam Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) Tapak Pelupusan Sampah Jelutong menerima kelonggaran luar biasa.
Kumpulan itu turut membangkitkan kebimbangan mengenai lanjutan masa (EOT) yang berulang, semakan terhadap struktur pembayaran serta skala cadangan projek tambakan laut di kawasan pesisir pantai selain mempersoalkan sama ada penstrukturan semula kewangan serta lanjutan masa yang berterusan wajar diberikan ketika ini.-UTUSAN










