Anggur jadi produk tarikan pelancongan ke Jerantut

Anggur jadi produk tarikan pelancongan ke Jerantut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK anggur pelbagai varieti boleh ditanam dan berbuah lebat yang rasanya manis dalam iklim Malaysia.

Hakikat itu dibuktikan Syed Norhaimi Syed Zin dari Taman Perumahan Batu Embun, Jerantut yang menghapuskan stigma bahawa anggur hanya mampu hidup subur di negara Eropah.

Syed Norhaimi menanam 20 varieti anggur dari pelbagai negara seperti Ukraine di Pusat Pertanian Temin ( PPT), Jerantut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antaranya Heliodor, Jubilee, Velez, Dixon, Rumba, Baikonur, Jupiter, Lora, Beauty Krasotka, Krasava, Ninel, Banana, Golden Musqat, Faith dan Monte Cristo.

Projek tanaman anggur di PPT bermula April 2022 dan kini pokok berusia lebih dua tahun sudah tiga kali berbuah dengan rasa manis setanding dengan kualiti negara asal.

“Insya-Allah ia akan berbuah lebat lagi selepas ini. Pokok juga makin matang dan mampu menghasilkan gugusan buah lebih banyak dengan saiz yang lebih besar,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Pusat Pertanian Temin (PPT), baru-baru ini.

Ada tiga rumah perlindungan hujan yang menempatkan 22 hingga 32 pokok yang hidup subur di sini.

Tumbuhan menjalar ini berpotensi menjadi tanaman tempatan yang popular selain menjadi tarikan
pelancongan domestik kerana pengeluarannya yang produktif.

Syed Norhaimi berkata, berbeza dengan negara asal yang ada empat musim, tanaman anggur di Malaysia boleh berbuah sepanjang masa tanpa terikat dengan musim.

 

ELAK JEMU
Syed Norhaimi mula menanam anggur ketika Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan Covid-19 pada 2020.

Untuk menghilangkan rasa jemu kerana pergerakan terhad, Syed Norhaimi banyak melayari media sosial dan secara tidak langsung melihat ada orang tempatan yang menanam anggur dengan
subur.

“Saya teruja ada orang boleh membuahkan anggur dengan mudah. Saya lantas mengikuti kursus secara dalam talian bagi meningkatkan ilmu.

“Malah turut membeli beberapa jenis benih dengan harga RM300-RM400 sepokok dan mula menanam dalam pasu di tepi rumah,” katanya.

Dalam banyak jenis anggur, Jupiter paling sesuai di tanam di kawasan rumah kerana mudah berbuah. Ia turut memiliki kelebihan memiliki rasa yang manis, beraroma dan rasa seperti markisa dan laici.

Menurut Syed Norhaimi, kejayaan menanam anggur, turut menarik perhatian Jabatan Pertanian Jerantut untuk menawarkan kawasan di PPT bagi membangunkan projek tanaman komersial.

“Anggur ditanam mampu mengeluarkan hasil dalam masa enam bulan sahaja. Pokok yang baharu tiga bulan ditanam sudah mengeluarkan bunga. Seterusnya boleh dituai bagi menikmati hasilnya,” katanya.

Pengunjung diberi penerangan mengenai varieti anggur yang boleh berbuah subur di negara ini selain diberi pendedahan mengenai aspek pembajaan, kawalan penyakit dan teknik membuahkan
anggur.

Syed Norhaimi berkata, anggur boleh ditanam di atas tanah atau dalam pasu selain tidak memerlukan kawasan luas untuk hidup.

Situasi itu menyebabkan pokok ini sesuai ditanam di rumah kawasan perumahan
yang mempunyai ruang terhad.

 

100 KILOGRAM
Baru-baru ini hampir 100 kilogram berjaya dijual kepada pengunjung yang teruja dengan produk anggur Malaysia.

Menurut Syed Norhaimi, lebih 300 pengunjung dari seluruh daerah termasuk dari Sabah kebetulan berada di Jerantut hadir ke PPT apabila mengetahui tawaran pembelian dibuka melalui media sosial.

“Pelanggan dibenarkan membeli sekitar 200 -300 gram sahaja dengan harga RM10 untuk 200 gram bagi memberi peluang kepada lebih ramai penggemar anggur merasai produk tempatan,” katanya.

 

TUNGGU TUAI
Sementara itu, anak perempuannya, Sharifah Irdina Syed Norhaimi, 21, mengakui projek tanaman anggur yang diusahakan sejak tahun lepas sangat menjadi sekali gus menjadi destinasi pelancongan terbaharu di bandar Pelancongan Taman Negara.

Beliau yang berkhidmat sebagai pegawai penerangan di situ, turut menjaga tanaman diusahakan di pusat berkenaan.

Pelanggan Farhana Hatim Hashim, 38, dari Felda Sungai Nerek, Maran hadir semata-mata untuk membeli dan merasai anggur tempatan.

“Saya memang menunggu hari anggur dituai setelah mengetahuinya dari media sosial dan tiktok Syed Norhaimi. Saya berbangga bila hasrat hasrat merasai anggur ‘buatan’ Malaysia tertunai,” katanya.

Rakannya Hasnah Mat Hassan, 47, dari Taman Setia Jasa Temerloh mengakui anggur Jerantut itu memiliki rasa dan kualiti setanding anggur dari negara asalnya.

“Dahulu anggur boleh dibeli di pasaraya, kini ia boleh dibeli di Taman Pertanian Temin yang diusahakan petani yang kreatif dan inovatif.

“Jabatan berkaitan diharap dapat memberi sokongan kepada petani untuk mengusahakan anggur berskala besar sebagai tarikan pelancong ke Jerantut bandar pelancongan negeri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini