Wujud prospek rundingan gencatan senjata walaupun Israel terus

Wujud prospek rundingan gencatan senjata walaupun Israel terus lakukan serangan

SEORANG wanita Palestin tidak dapat menahan kesedihan selepas kehilangan ahli keluarga dalam serangan bom Israel, beberapa hari lalu. -REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Wujud prospek untuk menyambung semula rundingan gencatan senjata di Gaza walaupun Israel tetap melakukan serangan baharu di mana pakar perubatan Palestin berkata lebih 40 orang terbunuh.

Seorang pegawai yang mengetahui perkara itu berkata, keputusan diambil untuk menyambung semula rundingan minggu depan selepas ketua agensi perisikan Mossad Israel bertemu ketua Ejen Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) dan Perdana Menteri Qatar, Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani.

Sumber itu yang enggan dikenali dengan nama atau kewarganegaraan berkata, sudah diputuskan bahawa dalam minggu akan datang rundingan akan dibuka berdasarkan cadangan baharu yang diketuai oleh pengantara, Mesir dan Qatar dan dengan penglibatan aktif AS.”

Seorang pegawai Hamas kemudiannya menafikan laporan media Israel bahawa rundingan itu akan disambung semula di Kaherah pada Selasa ini dan memberitahu Reuters, tiada tarikh yang ditetapkan.

Selepas lebih tujuh bulan perang di Gaza, pengantara bergelut untuk mendapatkan kejayaan, dengan Israel mencari pembebasan tebusan yang dipegang oleh Hamas dan Hamas untuk menamatkan perang dan membebaskan tawanan Palestin di Israel.

Israel meneruskan serangannya di Gaza untuk menghapuskan kumpulan Hamas selepas Mahkamah Keadilan Antrabangsa (ICJ) mengarahkan Israel pada hari Jumaat berhenti menyerang bandar Gaza di selatan.

Israel berkata, mereka mahu menumpaskan pejuang Hamas yang bersembunyi di Rafah dan menyelamatkan tebusan yang dikatakan ditahan di kawasan itu, tetapi serangannya memburukkan lagi nasib orang awam dan menyebabkan bantahan antarabangsa.

Di utara Gaza, di mana tentera Israel berkata ia cuba menghalang Hamas daripada membina semula pegangannya, pekerja perubatan Palestin melaporkan, serangan udara baharu Israel membunuh sekurang-kurangnya 17 orang.

Penduduk, Abu Mohammad berkata, dia berlindung bersama keluarganya di sebuah sekolah di pinggir bandar Saftawi, Gaza City bersama keluarga lain apabila peluru berpandu Israel mengenai pekarangan dan di luar bilik darjah di mana terdapat wanita wanita sedang menyediakan roti.

“Kami duduk dengan aman, kemudian berlaku ledakan, peluru berpandu tiba dari dron terkawal atau dron biasa menyebabkan kerosakan besar,” kata Abu.

Dia berkata beberapa orang terbunuh.

Bagaimanapun, tentera Israel berkata pihaknya sedang meneliti laporan itu.

Pakar perubatan Palestin berkata, 45 rakyat Palestin terbunuh sejak beberapa hari lalu di seluruh Gaza. 

Tentera Israel tidak membezakan antara korban awam dan kumpulan Hamas.

Hampir 36,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel, kata kementerian kesihatan Gaza. 

Israel memulakan operasi sebagai tindak balas kepada militan pimpinan Hamas yang menyerang komuniti Israel selatan pada 7 Oktober, membunuh kira-kira 1,200 orang dan merampas lebih 250 tebusan, menurut pengiraan Israel. -REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN