BAITULMUQADDIS: Serangan udara Israel mencetuskan kebakaran yang mengorbankan 45 orang dalam kem khemah di bandar Rafah di Gaza.
Menurut pegawai, kejadian ngeri itu menyebabkan bantahan daripada pemimpin global yang menggesa pelaksanaan perintah untuk menghentikan serangan Israel.
Tentera Israel yang cuba menghapuskan Hamas di Gaza, berkata, mereka sedang menyiasat laporan bahawa berlaku serangan yang dilakukannya terhadap komander kumpulan itu di Rafah sehingga menyebabkan kebakaran.
Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, serangan itu tidak bertujuan untuk menyebabkan kematian orang awam.
“Di Rafah, kami sudah memindahkan kira-kira sejuta penduduk bukan pejuang dan walaupun kami berusaha sedaya upaya untuk tidak mencederakan bukan pejuang, malangnya berlaku dengan tragis,” katanya dalam ucapan di Parlimen yang terganggu dengan teriakan daripada ahli parlimen pembangkang.
Seorang penduduk, Ummu Mohamed Al-Attar berkata, keluarganya sedang bersiap sedia untuk tidur apabila serangan melanda kejiranan Tel Al-Sultan di mana beribu-ribu orang berteduh selepas tentera Israel memulakan serangan darat di timur Rafah sejak dua minggu lalu.
“Kami sedang berdoa dan kami sedang menyediakan katil anak-anak kami untuk tidur. Tiada apa-apa yang luar biasa, kemudian kami mendengar bunyi yang sangat kuat dan api meletus di sekeliling kami.
“Semua kanak-kanak mula menjerit. Bunyi itu menakutkan. Kami rasa seperti bangunan itu hendak runtuh menimpa kami, dan serpihan jatuh ke dalam bilik,” katanya.
Rakaman video yang diperoleh Reuters menunjukkan api marak dalam kegelapan dan orang ramai menjerit panik.
Sekumpulan lelaki muda cuba mengangkut kepingan besi beralun dan hos dari sebuah trak bomba mula memadamkan api.
Lebih separuh daripada yang maut adalah wanita, kanak-kanak dan orang tua, kata pegawai kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.
Jumlah kematian mungkin meningkat daripada mereka yang mengalami luka bakar teruk.
Pakar perubatan kemudian berkata, serangan udara Israel, semalam ke atas sebuah rumah di Rafah membunuh tujuh rakyat Palestin, dengan beberapa yang lain cedera.
Tentera Israel berkata serangan dilakukan berdasarkan perisikan yang tepat untuk menghapuskan ketua kakitangan Hamas untuk wilayah Palestin kedua dan lebih besar, Tebing Barat serta seorang lagi pegawai di sebalik serangan maut ke atas Israel.
Serangan Itu menyusuli pintasan lapan roket yang dilepaskan ke arah Israel dari kawasan Rafah di hujung selatan Gaza.
Israel meneruskan serangannya walaupun keputusan mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat lalu bmengarahkannya dihentikan, mengatakan keputusan mahkamah memberikannya sedikit ruang untuk tindakan ketenteraan di sana.
Mahkamah juga mengulangi gesaan untuk pembebasan segera dan tanpa syarat tebusan yang ditahan di Gaza oleh Hamas.
Amerika Syarikat menggesa Israel supaya lebih berhati-hati untuk melindungi orang awam, tetapi berhenti daripada menyeru untuk menghentikan pencerobohan Rafah. -REUTERS











